Connect with us

Terkini

(VIDEO) Akta PSB jamin tiada pengusiran pemilik tanah berlaku

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk TPr Dr Alias Rameli

KUALA LUMPUR — Pemilik tanah yang bersetuju dengan projek pembangunan semula menerusi Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan kekal di tapak asal mereka, kata Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk TPr Dr Alias Rameli.

Manakala, bagi mereka yang tidak bersetuju pula menurut Alias, pemilik tanah berkenaan akan melalui proses pengambilan tanah dan diberikan pampasan sebagaimana ditetapkan perundangan.

Bagaimanapun, beliau berkata proses rundingan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan semula hanya akan berlaku jika mendapat persetujuan penduduk (pemilik) sebanyak 75 peratus dan sekiranya mendapat persetujuan hanya 74 peratus proses rundingan tidak akan dimulakan.

“Jaminan Akta PSB ini, ada artikel-artikel tertentu, seksyen tertentu di bawah Kanun Tanah Negara, hak dia (pemilik tanah) kepada tanah di tempat itu… Kalau katakan di Sungai Baru ini, katakan lebih daripada 10 hektarlah tapak dia, (pemilik) harus (kekal) berada di tapak tersebut (bagi mereka) yang bersetuju (projek pembangunan semula).

“Yang mana melalui proses tak setuju, dia melalui proses pengambilan tanah, dia dapat pampasan dan kena keluarlah (dari tapak tersebut) itu perundangannya… Kita kena akur kalau dah dapat pampasan, telah melalui proses perundangannya di Mahkamah Tinggi.

“Itulah, kalau dah ada Akta PSB kan senang… Ini tak ada, kalau di Kampung Sungai Baru, classic case, tiada Akta PSB, 66.7 peratus (pemilik) bersetuju pun, on juga (pembangunan semula)… (tapi dengan Akta PSB) Jelas, jaminannya, (mereka yang bersetuju) harus berada di tapak berkenaan,

“Apa masalah? Jawatankuasa eksekutif persekutuan ada, jawatankuasa di peringkat negeri ada, jawatankuasa mediasi pun ada jadi, itu yang kita akan pastikan bahawa tujuannya, kita nak kekal orang Melayu di kawasan rizab Melayu yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Akta PSB: Untungkan rakyat atau ‘scam’ tolong pemaju”.

Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times di sini pada Jumaat lalu turut menampilkan Ketua Jabatan Penyelidikan IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin.

Pelaksanaan Akta PSB sebelum ini dilaporkan dibantah segelintir pihak, seperti Gerakan Ekonomi Malaysia yang melihatnya akan mengancam hak milik hartanah rakyat dan berpotensi meminggirkan kelompok berpendapatan rendah apabila penurunan ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 atau 75 peratus yang memberikan kuasa kepada pemaju dan kerajaan.

Ia juga didakwa sebagai satu usaha untuk menghalau Melayu dari tinggal di bandar.

Malah, seorang bekas ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mak Khuin Weng turut menyifatkan akta itu sebagai satu bentuk ‘scam’ untuk membantu pemaju.—The Merdeka Times

Author