Connect with us

Terkini

Selangor catat kes HIV baru tertinggi

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Selangor mencatatkan jumlah kes HIV baru tertinggi iaitu 1,085 kes (34.1 peratus), diikuti Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya 365 kes (11.4 peratus) serta Sabah 344 kes (10.8 peratus), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
  • Merujuk data survelan National Aids Registry (NAR) pada 2024, 90 peratus kes HIV adalah membabitkan kelompok lelaki dan 75 peratus kes HIV melibatkan kelompok belia dari kumpulan umur antara 20 hingga 39 tahun.
  • 52 peratus kes HIV dilaporkan pada 2024 adalah berbangsa Melayu diikuti dengan bangsa Cina (14 peratus).

KUALA LUMPUR — Selangor mencatatkan jumlah kes HIV baru tertinggi iaitu 1,085 kes (34.1 peratus), diikuti Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya 365 kes (11.4 peratus) serta Sabah 344 kes (10.8 peratus), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Merujuk data survelan National Aids Registry (NAR) pada 2024, Lukanisman berkata didapati 90 peratus kes HIV adalah membabitkan kelompok lelaki dan sebanyak 75 peratus kes HIV melibatkan kelompok belia dari kumpulan umur antara 20 hingga 39 tahun.

Menurut beliau, bilangan jangkitan HIV baru di Malaysia secara amnya telah menurun daripada 6,978 kes dengan kadar notifikasi 28.5 bagi 100,000 penduduk pada 2002 kepada 3,185 kes dengan kadar notifikasi 9.4 bagi 100,000 penduduk pada tahun lalu.

“Sebanyak 52 peratus kes HIV yang dilaporkan pada tahun 2024 adalah berbangsa Melayu diikuti dengan bangsa Cina (14 peratus).

“Namun demikian Bumiputera Sabah menunjukkan kadar spesifik etnik yang tinggi iaitu 14.2 bagi setiap 100,000 penduduk bumi Sabah, diikuti Bumiputera Sarawak iaitu 14.0 bagi setiap 100,000 penduduk bumi Sarawak dan bangsa India iaitu 12.1 bagi setiap 100,000 penduduk berbangsa India,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Dr Lingeshwaran A/L Datuk Seri R. Arunasalam yang meminta Menteri Kesihatan menjelaskan berkenaan pecahan daripada segi etnik dan negeri bagi jangkitan HIV baru di Malaysia di mana 90 peratus adalah lelaki dan kumpulan umur tertinggi adalah dalam lingkungan 20-an.

Menjawab soalan lain berkenaan apakah faktor menjadikan hubungan seks antara lelaki dengan lelaki lebih berisiko tinggi dijangkiti HIV, Lukanisman berkata antaranya kerana penggunaan aplikasi media sosial yang menghubungkan kelompok terbabit untuk mencari pasangan (songsang) mereka.

“Kita tidak mempunyai satu kaedah kawalan untuk mengawal dan juga menyekat aplikasi tersebut dan kita juga terdedah dengan satu gelombang, trend ataupun kempen global yang menggalakkan dan juga memberikan gambaran bahawa this kind of lifestyle adalah sesuatu yang normal.

“Kita merupakan sebuah negara Islam dan kebanyakan masyarakat kita lebih kepada pemikiran yang agak konservatif dan gaya hidup ini masih lagi tidak mendapat (sokongan/diiktiraf), merupakan satu aktiviti yang tidak baik.

“Saya merasakan penyebab kepada jangkitan antara lelaki dengan lelaki ini adalah generational issues (isu generasi) yang merasakan YOLO ini you only live once, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru dan juga grooming yang dilakukan oleh individu-individu yang ingin melakukan satu kegiatan di luar tabii sehinggakan melupakan kesan (perbuatan itu),” katanya. — The Merdeka Times

Author