Terkini
Prestasi pendidikan negara tidak baik, KPM jangan ambil mudah simptom

- Terdapat banyak bukti empirikal dan berautoriti mengesahkan prestasi pendidikan negara tidak berada dalam keadaan baik, malah data yang ada juga menunjukkan sistem pendidikan kita sedang mengalami kemerosotan yang sistemik dan berterusan.
- Itu antara penegasan penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad yang menginginkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serius dalam meneliti dan memahami setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan, khususnya yang memberi petunjuk kepada kemerosotan prestasi pendidikan.
- KPM tidak boleh mengambil mudah di atas setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan, sebaliknya perlu segera menyelesaikannya sebelum semakin parah.
- “Bila pusat tuisyen dan sekolah persendirian tumbuh bak cendawan selepas hujan, itu juga simptom… Bila semakin ramai ibu bapa bumiputera memilih SJKC dan sekolah antarabangsa, itu juga adalah simptom…Bila semakin ramai ibu bapa dan guru menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial tentang isu pendidikan, itu juga simptom.
- “Setiap simptom mesti difahami, dikaji dan diambil tindakan penyelesaian di peringkat akarnya. Jika tidak, kualiti pendidikan akan terus merosot,” kata Dr Anuar menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
KUALA LUMPUR — Terdapat banyak bukti empirikal dan berautoriti mengesahkan prestasi pendidikan negara tidak berada dalam keadaan baik, malah data yang ada juga menunjukkan sistem pendidikan kita sedang mengalami kemerosotan yang sistemik dan berterusan.
Itu antara penegasan penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad yang menginginkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serius dalam meneliti dan memahami setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan, khususnya yang memberi petunjuk kepada kemerosotan prestasi pendidikan.
Dr Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), berkata KPM tidak boleh mengambil mudah di atas setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan, sebaliknya kementerian itu perlu segera menyelesaikannya sebelum semakin parah.
Tegasnya lagi, bertangguh untuk bertindak selepas wujudnya simptom hanya akan lebih merosakkan masa depan pendidikan negara ini.
“Bila bilangan murid aliran Sains tulen merosot sehingga mencecah 15 peratus sahaja, itu adalah simptom yang perlu diselesaikan… Bila lebih 50 peratus lepasan SPM sudah tidak mahu sambung belajar lagi, itu adalah simptom… Bila semakin ramai guru mahu bersara awal, itu juga adalah simptom.

Foto: Antara poster yang dimuat naik Dr Anuar Ahmad di hantaran Facebook beliau.
“Bila pusat tuisyen dan sekolah persendirian tumbuh bak cendawan selepas hujan, itu juga simptom… Bila semakin ramai ibu bapa bumiputera memilih SJKC dan sekolah antarabangsa, itu juga adalah simptom…Bila semakin ramai ibu bapa dan guru menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial tentang isu pendidikan, itu juga simptom.
“Setiap simptom mesti difahami, dikaji dan diambil tindakan penyelesaian di peringkat akarnya. Jika tidak, kualiti pendidikan akan terus merosot.

Foto: Poster dimuat naik Dr Anuar di hantaran Facebook beliau.
“Saya bukan orang politik, saya orang pendidikan. Saya ambil peduli tentang sistem pendidikan negara… Saya hanya mahu anak-anak kita dapat pendidikan yang berkualiti sebab itu saya berikan pandangan yang jujur. Kalau tak faham juga lagi, tak tahulah,” kata Dr Anuar menerusi hantaran di Facebook di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata kemerosotan prestasi sistem pendidikan negara sedang berlaku telah disahkan oleh laporan rasmi dari luar negara seperti keputusan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), Laporan World Bank, SEA-PLM (Metrik Pembelajaran Sekolah Rendah Asia Tenggara) dan ADB (Bank Pembangunan Asia).

Foto: Poster dimuat naik Dr Anuar di hantaran Facebook beliau.
Katanya, laporan PISA sebagai contoh turut mengesahkan negara ASEAN lain seperti Kemboja, Brunei, Filipina sedang menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan di mana Singapura dan Vietnam memang sudah jauh di hadapan kita dalam pencapaian pendidikan, sedangkan kita terkebelakang.
“Bukti dalam negara pula, keputusan SPM saban tahun juga menunjukkan angka yang tidak begitu menggembirakan walau setiap tahun dilaporkan prestasi meningkat, misalnya GPN (Gred Purata Nasional) meningkat, bilangan calon yang mendapat semua A sentiasa meningkat tetapi data rasmi Analisis SPM oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia juga mengesahkan prestasi calon yang mendapat gred yang rendah (C,D,E dan G) juga sedang meningkat.
“Maksudnya, jurang pencapaian pendidikan antara kumpulan yang cemerlang dengan kumpulan yang lemah semakin melebar setiap tahun.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Anuar Ahmad.
“Pencapaian kualiti pendidikan bukan hanya dijawab dengan segelintir calon yang mendapat semua A tetapi kualiti pendidikan juga ditentukan adakah jurang pencapaian pendidikan antara calon SPM semakin mengecil atau semakin melebar.
“Sebagai analogi mudah, tak guna kita ‘bertempik’ gembira kalau kita ada 10 peratus calon yang mendapat semua A dalam SPM tetapi kita juga ada 70 peratus calon yang mendapat gred C, D, E dan G (gagal). Jurang pencapaian antara satu sama lain terlalu besar. Itu bukan kualiti pendidikan yang kita harapkan,” kata Dr Anuar. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login