Terkini
Peruntukan bukan Bumiputera: Fokus miskin tegar tanpa kira kaum

- “Pendapat saya ialah sebarang peruntukan tambahan oleh kerajaan harus menumpukan kepada keperluan golongan miskin tegar dan miskin tanpa mengira kaum.
- “Jika bantuan diberi kepada golongan bukan Bumiputera tetapi tidak melihat sama ada mereka memerlukan atau tidak, ada kemungkinan golongan ini akan menyimpan sahaja duit bantuan tersebut dan ekonomi tidak akan dapat dibantu,” kata Ahmed Razman.
- Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang dilapor meminta Kerajaan MADANI menaikkan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera daripada tiga peratus kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan diterima komuniti Bumiputera.
KUALA LUMPUR — Sebarang peruntukan tambahan oleh kerajaan harus menumpukan kepada keperluan kelompok miskin tegar dan miskin tanpa mengira kaum.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata jumlah peruntukan diberikan kepada mereka juga mungkin meningkat jika kerajaan berhasrat memberi lebih banyak peruntukan pada tahun hadapan buat mereka.
Ahmed Razman berkata peningkatan peruntukan itu juga boleh berlaku sekiranya pada masa sama masih ramai bukan Bumiputera berada dalam kumpulan tersebut dan layak menerima bantuan.
“Pendapat saya ialah sebarang peruntukan tambahan oleh kerajaan harus menumpukan kepada keperluan golongan miskin tegar dan miskin tanpa mengira kaum.
“Jika kerajaan berhasrat untuk memberi lebih banyak peruntukan kepada golongan tersebut pada tahun hadapan dan jika ramai golongan bukan Bumiputera yang masih tergolong dalam kumpulan tersebut dan layak menerima bantuan daripada kerajaan, mungkin jumlah yang diberi akan lebih tinggi dari sebelumnya,” katanya kepada The Merdeka Times di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang dilapor meminta Kerajaan MADANI menaikkan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera daripada tiga peratus kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan diterima komuniti Bumiputera.
Memberikan contoh, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM11.4 bilion diperuntukan kepada kaum Bumiputera tetapi pada masa sama hanya RM345 juta diperuntukkan kepada kelompok bukan Bumiputera iaitu sekadar tiga peratus daripada apa diberikan kepada kaum Bumiputera.
Kenaikan itu dilihat perlu kerana ia berupaya membantu merancakkan pembangunan ekonomi.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata bantuan fiskal kepada golongan rentan kebiasaannya memang akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
Ini kerana kelompok tersebut akan terus membelanjakan wang diterima sekali gus menambahkan kecairan pasaran dan merancakkan transaksi barangan dan perkhidmatan, yang seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi.
“Yang penting ianya diberikan kepada golongan yang memerlukan tidak mengira kaum.
“Jika bantuan diberi kepada golongan bukan Bumiputera tetapi tidak melihat sama ada mereka memerlukan atau tidak, ada kemungkinan golongan ini akan menyimpan sahaja duit bantuan tersebut dan ekonomi tidak akan dapat dibantu,” katanya.— The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login