Antarabangsa
Mesir cadang pelan pembangunan Gaza tanpa Hamas

- Pembiayaan antarabangsa tidak mungkin berlaku jika Hamas terus menguasai wilayah itu.
- Ia juga menyeru golongan pakar dan profesional Palestin untuk membantu dalam usaha pemulihan Gaza, namun tidak meletakkan Pihak Berkuasa Palestin sebagai peranan utama.
- Pelan tersebut didapati bertentangan dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu menyingkirkan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
- Pelan Mesir itu dijangka dibentangkan pada sidang kemuncak Liga Arab.
CAIRO – Mesir hari ini mencadangkan pelan pembinaan semula Gaza, termasuk menggantikan Hamas dengan pemerintahan sementara di wilayah itu.
Namun, cadangan tersebut didapati bertentangan dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu menyingkirkan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Pelan Mesir itu dijangka dibentangkan pada sidang kemuncak Liga Arab yang terdekat.
Bagaimanapun, butiran pelan tersebut, tidak dapat disahkan, sama ada ia adalah draf akhir.
Pelan berkenaan termasuk menubuhkan Misi Kawalan Bantuan untuk mengawasi bantuan kemanusiaan keluar masuk ke wilayah itu selain menyelia pembinaan semula Gaza.
Ia turut menekankan bahawa pembiayaan antarabangsa tidak mungkin berlaku jika Hamas terus menguasai wilayah itu.
Menurut pelan tersebut, pasukan Penstabilan Antarabangsa, yang dipimpin oleh negara-negara Arab, akan menangani aspek keselamatan Gaza, yang kemudiannya akan diserahkan kepada pasukan polis tempatan.
Pelan terbabit bagaimanapun tidak menyebutkan sumber pembiayaan untuk pembinaan semula Gaza, yang dianggarkan lebih daripada USD53 bilion.
Negara-negara Teluk dan Arab dijangka menyumbang, tetapi tiada sebarang perjanjian kewangan diperincikan.
Ia juga menyeru golongan pakar dan profesional Palestin untuk membantu dalam usaha pemulihan Gaza, namun tidak meletakkan Pihak Berkuasa Palestin sebagai peranan utama. – The Merdeka Times
