Terkini
Majoriti pengguna ‘Buy Now Pay Later’ berpendapatan kurang RM5 ribu

- Majoriti pengguna Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) berumur antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.
- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bagi separuh tahun kedua 2024, transaksi BNPL berjumlah RM7.1 bilion, meningkat ketara berbanding RM4.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2024.
- Setakat akhir Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL di mana pada masa ini, terdapat 12 syarikat yang menawarkan skim BNPL di Malaysia.
KUALA LUMPUR — Majoriti pengguna Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) terdiri daripada kelompok berumur antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat akhir Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL di mana pada masa ini, terdapat 12 syarikat yang menawarkan skim BNPL di Malaysia.
Katanya, bagi separuh tahun kedua 2024, transaksi BNPL berjumlah RM7.1 bilion, meningkat ketara berbanding RM4.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2024.
“Kadar penggunaan BNPL di Malaysia semakin meningkat telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah.
“Sungguhpun begitu, peningkatan transaksi BNPL ini masih terkawal.
“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL sebanyak RM2.8 bilion hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini, manakala kadar jumlah BNPL yang tertunggak (overdue) juga adalah terkawal iaitu sebanyak RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha bagi mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan “Buy Now Pay Later”.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama bagi Rang Undang-undang Kredit Pengguna (RUUKP) di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2025 yang menjadi antara usaha Kerajaan mempertingkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
Katanya, RUUKP itu akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.
Ia seperti syarikat yang menawarkan BNPL, syarikat pajakan (leasing) dan pemfaktoran (factoring) serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas (impaired loan buyers), agensi pengutipan hutang (debt collection agencies) dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang (debt counselling and management agencies).
“Pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dikehendaki mematuhi kepada keperluan pelakuan (conduct requirements) bagi memastikan mereka mengamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab serta adil bagi melindungi pengguna kredit.
“Ini termasuklah melakukan penilaian kemampuan berhutang (affordability assessment) terhadap pengguna kredit.
“Penilaian ini merujuk kepada kemampuan membayar balik hutang setelah mengambil kira semua komitmen kewangan, corak perbelanjaan dan sejarah pembayaran hutang bakal peminjam.
“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit yang adil dan memberi peringatan yang kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan,” katanya. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login