Terkini
Hadkan tempoh jawatan PM: Ada pendekatan lebih realistik elak pemusatan kuasa

- Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata sebenarnya banyak pendekatan boleh dilakukan untuk mengelakkan berlaku pemusatan kuasa atau kuasa bertumpu kepada seseorang individu yang terlalu berpengaruh sehingga tidak dapat dikritik antaranya ialah membuka kebebasan bersuara.
- “Jika sekiranya kita benar-benar ingin mengelakkan berlakunya pemusatan kuasa atau kuasa terlalu tertumpu kepada seseorang individu, maka antara langkah yang penting ialah memastikan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang berbeza.
- “Saya rasa itu perkara yang penting bahkan lebih mudah kerana ia tidak melibatkan pindaan Perlembagaan ia hanya soal pelantikan.
- “Kalau nak buat (cadangan hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu) boleh teruskan, tapi jangan lupa langkah-langkah lain yang lebih mudah dan realistik,” – Muhammad Fathi.
KUALA LUMPUR — Terdapat pendekatan lain lebih mudah juga realistik untuk mengelakkan berlakunya pemusatan kuasa, selain mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata sebenarnya banyak pendekatan boleh dilakukan untuk mengelakkan berlaku pemusatan kuasa atau kuasa bertumpu kepada seseorang individu yang terlalu berpengaruh sehingga tidak dapat dikritik antaranya ialah membuka kebebasan bersuara.
Dalam sudut pentadbiran pula, Muhammad Fathi berkata sepatutnya kerajaan perlu mengelakkan pelantikan Menteri Kewangan daripada kalangan seseorang yang telah memegang jawatan Perdana Menteri.
“Maksudnya jika sekiranya kita benar-benar ingin mengelakkan berlakunya pemusatan kuasa atau kuasa terlalu tertumpu kepada seseorang individu, maka antara langkah yang penting ialah memastikan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang berbeza.
“Saya rasa itu perkara yang penting bahkan lebih mudah kerana ia tidak melibatkan pindaan Perlembagaan ia hanya soal pelantikan.
“Kalau nak buat (cadangan hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu) boleh teruskan, tapi jangan lupa langkah-langkah lain yang lebih mudah dan realistik,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang DAP pada Ahad lalu dilaporkan memohon kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dalam konteks menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun (atau dua penggal).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan perlu melaksanakannya dalam tempoh 24 bulan ini memandangkan ia salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Cadangan berkenaan turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menurut beliau, jika ia mencecah 22 tahun, negara berisiko musnah.
Dalam masa sama, Muhammad Fathi menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman supaya pindaan tersebut juga menetapkan seseorang Perdana Menteri yang dilantik mestilah beragama Islam sebagai cadangan positif dan ia sesuai dilakukan.
Ini kerana menurut beliau, di negeri-negeri Melayu sememangnya telah meletakkan syarat bahawa seorang Menteri Besar mesti daripada kalangan orang Melayu beragama Islam, selain ia juga dilihat dapat mengurangkan pergeseran atau sebarang isu polemik yang berlaku berkenaan Perdana Menteri bukan Islam.
“Ia lebih mewujudkan kestabilan kerana wujud satu kepastian atau jaminan bahawa Perdana Menteri adalah dari kalangan seorang yang beragama Islam dan dalam konteks ini ia selari dengan sejarah negara Malaysia ini sendiri dan juga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Sebenarnya isu untuk menetapkan Perdana Menteri mesti di kalangan orang Islam tidak boleh dianggap sebagai isu bersifat rasis kerana ia adalah prinsip Perlembagaan yang juga terdapat dalam undang-undang tubuh negeri-negeri berkenaan dengan pelantikan Menteri Besar.
“Jadi ia satu perkara biasa dalam konteks Perlembagaan, bahkan saya percaya pendekatan itu akan dapat mengelakkan risiko perbincangan hangat dari sudut kemungkinan terlantiknya seorang Perdana Menteri bukan Islam, dan pindaan itu sebenarnya dapat mengendurkan risiko ketegangan dan memberikan jaminan sehingga mewujudkan ketenteraman,” kata Muhammad Fathi. — The Merdeka Times
