Antarabangsa
China paksa Uyghur kerja sepanjang Ramadan, halang mereka berpuasa

- Beberapa video tersebar di media sosial sejak minggu lalu menunjukkan penduduk Uyghur melakukan kerja secara paksa beramai-ramai sepanjang Ramadan. Ada yang bekerja di ladang, manakala yang lain melakukan kerja pembersihan.
- Malah, penduduk diwajibkan menghantar bukti video kepada pegawai yang mereka makan tengah hari pada siang hari.
- Seorang kakitangan jawatankuasa kejiranan di daerah Onsu pula mendakwa penduduk Uyghur telah bekerja tanpa bayaran sejak awal Ramadan dan mereka diwajibkan melakukan kerja pembersihan, jika tidak, mereka akan dihukum kerana melanggar arahan.
BEIJING – Pihak berkuasa China di Xinjiang memaksa penduduk Uyghur bekerja sepanjang Ramadan untuk menghalang mereka daripada berpuasa dan menunaikan solat, menurut sumber di wilayah barat laut China.
Beberapa video tersebar di media sosial sejak minggu lalu menunjukkan penduduk Uyghur melakukan kerja secara paksa beramai-ramai sepanjang Ramadan.
Ada yang bekerja di ladang, manakala yang lain melakukan kerja pembersihan.
Malah, penduduk diwajibkan menghantar bukti video kepada pegawai yang mereka makan tengah hari pada siang hari.
Selain itu, penduduk Uyghur juga dilarang berkumpul di masjid untuk solat Jumaat serta menyambut perayaan Islam yang lain.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada pelbagai usaha pihak berkuasa untuk mengharamkan amalan keagamaan dalam kalangan kira-kira 12 juta penduduk Uyghur yang kebanyakannya beragama Islam di Xinjiang.
Sebuah lagi video yang dimuat naik di Douyin, versi TikTok China, menunjukkan penduduk Hotan bekerja di ladang pertanian pada hari kedua Ramadan.
Maklumat dari video lain yang dimuat naik pada hari ketujuh Ramadan menunjukkan semua isi rumah penduduk Uyghur diwajibkan melakukan kerja pembersihan secara berkumpulan.
Namun, video itu tidak memberikan butiran seperti lokasi sebenar tempat kerja itu dijalankan, dan tiada penjelasan diberikan mengenai mengapa kerja tersebut menjadi wajib sepanjang Ramadan.
“Selama 15 hari, penduduk telah bekerja di bawah pimpinan kerajaan kampung dan daerah untuk membersihkan halaman rumah serta membaik pulih tandas awam,” kata seorang kakitangan kerajaan daerah Onsu di wilayah Aksu.
Seorang pegawai polis di sebuah balai polis daerah berkata beberapa penduduk tidak berpuas hati kerana dipaksa bekerja sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun, pegawai terbabit cuba mempertahankan langkah tersebut dengan mengatakan bahawa kerja tersebut memberi manfaat kepada mereka.
Seorang kakitangan jawatankuasa kejiranan di daerah Onsu pula mendakwa penduduk Uyghur telah bekerja tanpa bayaran sejak awal Ramadan dan mereka diwajibkan melakukan kerja pembersihan, jika tidak, mereka akan dihukum kerana melanggar arahan.
“Bagi mereka yang enggan bekerja, hukuman lebih berat menanti. Mereka akan ditahan di pejabat pegawai daerah selama 7 hingga 10 hari atau dihantar ke kem sekiranya penentangan mereka dianggap serius,” kata kakitangan itu, merujuk kepada kem pemulihan yang dibina oleh pihak berkuasa Beijing di seluruh Xinjiang.
Tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada dasar ketat kerajaan China terhadap penduduk Uyghur, yang bertujuan untuk menghapuskan amalan keagamaan dan identiti budaya mereka.
Selain daripada larangan berpuasa dan solat berjemaah, Uyghur juga dikenakan pemantauan ketat dan sekatan pergerakan.
Para pemerhati hak asasi manusia menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada kempen sistematik Beijing untuk menekan penduduk Uyghur.
Tekanan berkenaan termasuk penahanan besar-besaran, kerja paksa, dan usaha mengasimilasikan mereka secara paksa ke dalam budaya Han China. – The Merdeka Times
