Antarabangsa
Arab Saudi tubuh unit khas tangani masalah pelacuran dan pengemis

- Sebelum ini, Arab Saudi mempunyai badan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat – atau lebih dikenali sebagai ‘polis agama’ yang berperanan menangani aktiviti yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam, seperti berpakaian tidak sopan dan muzik.
- Namun, kuasa badan ini telah dikurangkan secara drastik oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada tahun 2016.
- Agensi baharu ini dilapor memberi fokus kepada keselamatan masyarakat dan pemerdagangan manusia yang menunjukkan bahawa bin Salman hanya mahu menangani jenayah terancang.
ARAB SAUDI — Arab Saudi mengambil langkah tegas untuk membanteras tindakan tidak bermoral seperti mengemis dan pelacuran dengan menubuhkan unit khas bagi menangani isu ini di bandar-bandar utama Arab Saudi, susulan kelonggaran peraturan sosial di negara tersebut.
Sebelum ini, Arab Saudi mempunyai badan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat – atau lebih dikenali sebagai ‘polis agama’ yang berperanan menangani aktiviti yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam, seperti berpakaian tidak sopan dan muzik.
Namun, kuasa badan ini telah dikurangkan secara drastik oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada tahun 2016.
Agensi baharu ini dilapor memberi fokus kepada keselamatan masyarakat dan pemerdagangan manusia yang menunjukkan bahawa bin Salman hanya mahu menangani jenayah terancang.
Setakat ini, kempen tersebut telah menyaksikan sekurang-kurangnya 50 individu ditahan atas kesalahan pelacuran dan mengemis, termasuk puluhan warga asing yang bekerja di pusat urut serta wanita dan kanak-kanak yang dipaksa mengemis.
Menurut laporan The Financial Times, rakyat negara itu menyambut baik tindakan tegas ini berikutan peningkatan aktiviti tidak bermoral yang dilapor berlaku di jalan-jalan utama di bandar-bandar besar di negara tersebut.
Berita ini muncul di tengah-tengah pelonggaran norma sosial dan undang-undang yang sebelum ini ketat seperti larangan terhadap muzik, percampuran jantina, serta sekatan ke atas perjalanan wanita tanpa penjaga lelaki.
Namun, meskipun terdapat pembaharuan sosial, Arab Saudi masih menunjukkan ketegasan terhadap sebarang bentuk penentangan politik, termasuk dari golongan liberal dan aktivis hak wanita.
Ratusan aktivis dan pengguna media sosial telah ditahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.-The Merdeka Times
