Antarabangsa
Wanita muslim ditampar dan dipukul di kepala, PM Australia mahu penyerang rasis dihukum

- Perdana Menteri Australia mengecam serangan rasis selepas dua wanita diserang di sebuah pusat membeli-belah di Melbourne.
- “Kedua-dua wanita ini hanya menjalani hari mereka seperti rakyat Australia yang lain. Tiada siapa yang patut berasa tidak selamat di negara ini. Tiada siapa yang sepatutnya diserang kerana bangsa atau agama mereka,” tegas Anthony Albanese.
- Utusan khas Islamofobia, Aftab Malik gesa pihak berkuasa perlu menangani insiden Islamofobia dengan lebih serius.
MELBOURNE — Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menegaskan bahawa sesiapa yang melakukan serangan rasis harus berdepan dengan tindakan undang-undang, selepas dua wanita Muslim diserang di sebuah pusat membeli-belah di utara Melbourne.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat laporan bahawa seorang pekerja penjagaan kanak-kanak, yang memakai hijab, telah ditampar dan dipukul di bahagian kepala ketika waktu rehat makan tengah harinya di pusat membeli-belah tersebut.
Seorang lagi wanita Muslim turut dilapor diserang pada hari yang sama di pusat membeli-belah di Epping.
Seorang pekerja penjagaan kanak-kanak kini takut untuk keluar rumah bersendirian selepas menjadi salah seorang mangsa serangan di Plaza Epping.
Kejadian ini mendorong kumpulan advokasi mendesak tindakan segera di tengah-tengah peningkatan insiden Islamofobia.
Albanese berkata tiada sesiapa patut berasa tidak selamat hanya kerana identiti mereka.
“Kedua-dua wanita ini hanya menjalani hari mereka seperti rakyat Australia yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tiada siapa yang patut berasa tidak selamat di negara ini. Tiada siapa yang sepatutnya diserang kerana bangsa atau agama mereka.
“Pihak polis sedang menyiasat, jadi adalah tidak wajar untuk saya mengulas lebih lanjut.
“Sesiapa yang melakukan tindakan jenayah rasis seperti ini harus berdepan dengan tindakan undang-undang sepenuhnya.”
Terdahulu, utusan khas kerajaan bagi memerangi Islamofobia, Aftab Malik, menggesa Perdana Menteri supaya mengutuk serangan yang berlaku di Epping.
Malik menggesa pihak berkuasa perlu menangani insiden Islamofobia dengan lebih serius.-The Merdeka Times
