Terkini
(VIDEO) Rakyat Afghanistan tidak solat kesan penjajahan Amerika?

KUALA LUMPUR — Seorang wanita Malaysia yang menetap di Afghanistan sejak lima tahun lalu mendedahkan terdapat banyak pengaruh barat dalam kehidupan seharian rakyat di negara itu ekoran kesan penjajahan Amerika Syarikat (AS).
Umpamanya, majoriti rakyat di sana tidak solat dan tidak tahu membaca Al-Quran.
Nabilah Shahrudin yang kini menetap di Mazar E Sharif dan mengahwini warga Afghanistan mendakwa hanya 10 peratus penduduk di sana menunaikan solat dan ia membabitkan mereka yang sudah berusia bukan anak muda kerana ia tidak dititikberatkan kepada kelompok itu semasa pemerintahan AS.
Bagaimanapun, katanya dapat dilihat perubahan cuba dilakukan oleh kerajaan baharu untuk ‘membetulkan’ kesan penjajahan itu dengan mewajibkan kelompok lelaki solat fardhu di masjid pada setiap waktu jika tiada sebarang kekangan, atau akan berdepan hukuman seperti rotan.
“Mungkin sebab Amerika menjajah tempat itu (Afghanistan), banyak pengaruh barat yang masuk ke dalam kehidupan harian (rakyat Afghanistan) mereka yang orang lain tidak ketahui kecuali mereka tinggal sendiri di situ… Contoh macam solat, puasa benda-benda macam pakaian, muzik dan sebagainya.
“Bukan cakap orang (sana) tak solat, ada (yang solat) tapi saya yakin berkata dalam 10 peratus sahaja… Itu pun mungkin orang-orang tua tapi yang muda-muda ni, tak (solat)… Tidak diutamakan dan tidak dititikberatkan.
“Lepas kerajaan baru memerintah, waktu solat, azan mula berkumandang, kalau anda ditangkap di restoran, lelaki eh, sebab lelaki wajib solat di masjid kalau boleh, kalau tak ada kekangan, kena pergi solat di masjid (setiap waktu).
“Jadi kalau you ditangkap di tempat lain, tak solat, mereka akan tangkap awak dan dirotan. Masa mula-mula (kerajaan baru memerintah Afghanistan selepas Amerika Syarikat),” kata Nabilah menerusi epsiode terbaru podcast Garis Krisis (GK) bertajuk, “Selamatkah Wanita Malaysia di Afghanistan?”.
Podcast GK terbitan Studio Merdeka itu bersiaran di Youtube The Merdeka Times pada Sabtu lalu yang dihoskan petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain.
Afghanistan kini diperintah Emiriah Islam Afghanistan (IEA) diterajui Taliban ekoran pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2021 selepas 20 tahun AS berada di negara itu dan menyokong kerajaan republik sebelumnya. — The Merdeka Times
