Agama
Tidak perlu dan tidak boleh lantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam – Pakar Perlembagaan

- Pakar Perlembagaan menegaskan bahawa tidak perlu dan tidak boleh melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam ekoran Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui semalam mencadangkan supaya menteri berkenaan dilantik pada peringkat Persekutuan.
- Tidak bersetuju dengan cadangan Yu Hui, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata tidak pernah ada niat amalan di negara ini dan Perlembagaan untuk tujuan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam di mana ia boleh dilihat dalam dokumen sejarah Perlembagaan yang tidak pernah membincangkan hal berkenaan berbanding kedudukan Islam dan Perkara 12(2) hanya untuk penubuhan institusi Islam.
- Penambahan menteri juga akan melibatkan impilkasi kewangan justeru tiada keperluan untuk menambah seorang lagi, selain pelantikan menteri yang khusus untuk agama bukan Islam seolah dirasakan kesamarataan antara agama; yang mana tiada niat Perlembagaan untuk mempunyai agama lain sama rata dengan Islam, tetapi dalam masa sama Perlembagaan tidak mengabaikan kepentingan komuniti lain, termasuk hak mereka yang beragama bukan Islam.
- “Tidak mudah mengurus agama selain Islam oleh seorang Menteri kerana terdapat banyak agama bukan Islam… Keadaan ini membuka ruang kepada ketegangan antara agama-agama lain dan pecahan dalam agama-agama tersebut,” kata Shamrahayu menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Pakar Perlembagaan menegaskan bahawa tidak perlu dan tidak boleh melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam ekoran Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui semalam mencadangkan supaya menteri berkenaan dilantik pada peringkat Persekutuan.
Tidak bersetuju dengan cadangan Yu Hui, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata tidak pernah ada niat amalan di negara ini dan Perlembagaan untuk tujuan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam di mana ia boleh dilihat dalam dokumen sejarah Perlembagaan yang tidak pernah membincangkan hal berkenaan berbanding kedudukan Islam dan Perkara 12(2) hanya untuk penubuhan institusi Islam.
Beliau menjelaskan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.
“Tiada peruntukan yang menyatakan “agama” dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan Menteri yang dimaksudkan… Oleh itu, agama adalah berada pada kuasa negeri kerana perkara baki (risidual – iaitu perkara yang tidak dinyata dalam Senarai Perundangan) adalah di bawah kuasa negeri. Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.
“Hal ini berbeza dengan Islam, yang mempunyai struktur pentadbiran jelas melalui Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan menurut undang-undang negeri, maka Perlembagaan tidak membenarkan urusan agama bukan Islam dibuat dengan pelantikan Menteri khusus.
“Namun begitu, amalan pentadbiran negara kita tidak pernah mengenepikan urusan orang atau agama bukan Islam… Terdapat Kementerian dan Jawatankuasa yang menjaga hak kepentingan orang bukan Islam, iaitu Kementerian Perpaduan dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.
“Kebajikan pendidikan juga tidak diabaikan oleh Kerajaan… Untuk kebajikan lain ia boleh diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, seperti hal berkaitan penubuhan rumah-rumah untuk melaksanakan ritual agama mereka,” kata Shamrahayu menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Yu Hui di Dewan Rakyat semalam dilaporkan mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, maka peringkat persekutuan juga boleh mencontohi langkah itu untuk menjamin hak semua rakyat.
Langkah melantik dua menteri itu dikatakan bukan saja dapat memastikan pengurusan agama yang adil, tetapi turut mengukuhkan perpaduan negara serta mengelakkan mana-mana pihak daripada terpinggir.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Shamrahayu Aziz.
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata sekiranya ada Menteri untuk Hal Ehwal Agama Bukan Islam, ia boleh menimbulkan perbezaan dalam kalangan agama-agama, mungkin soal siapa dan agama Menteri boleh menjadi punca perbalahan dalam kalangan penganut agama (selain Islam) di mana fungsi itu kini dilaksanakan Menteri Perpaduan dan tiada persoalan timbul tentang agama menteri terbabit.
Katanya, penambahan menteri juga akan melibatkan impilkasi kewangan justeru tiada keperluan untuk menambah seorang lagi, selain pelantikan menteri yang khusus untuk agama bukan Islam seolah dirasakan kesamarataan antara agama; yang mana tiada niat Perlembagaan untuk mempunyai agama lain sama rata dengan Islam, tetapi dalam masa sama Perlembagaan tidak mengabaikan kepentingan komuniti lain, termasuk hak mereka yang beragama bukan Islam.
“Tidak mudah mengurus agama selain Islam oleh seorang Menteri kerana terdapat banyak agama bukan Islam… Keadaan ini membuka ruang kepada ketegangan antara agama-agama lain dan pecahan dalam agama-agama tersebut.
“Agama bukan Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kepercayaan (Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, dll.). Menteri tersebut perlu mewakili semua agama secara saksama dan ini sukar dilaksanakan.
“Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang selama ini diiktiraf oleh Kerajaan dilihat lebih mampu mengendalikan urusan orang bukan Islam berbanding mempunyai hanya seorang Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.
“Pengurusan dan Keurusetiaan Jawatankuasa ini sedang diuruskan atau dikendalikan oleh Menteri Perpaduan Negara,” kata Shamrahayu.
Sebagai alternatif, beliau berkata kerajaan boleh memperkasakan mekanisme sedia ada, seperti mengukuhkan kerja Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum atau memperluas platform dialog antara agama untuk memastikan kebajikan dan keharmonian masyarakat majmuk kekal diambil berat dan terjaga oleh kerajaan. — The Merdeka Times
