Connect with us

Terkini

Pengasuh dengar suara Zayn Rayyan seperti cuba lepaskan diri

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pengasuh, Auni Afiqah Abas (Kiri) & Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin (Kanan)
  • Pengasuh kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini, bahawa beliau mendengar suara kanak-kanak autistik itu seolah-seolah cuba melepaskan diri daripada seseorang semasa mencarinya bersama adiknya di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada petang hari kejadian mangsa dilaporkan hilang.
  • Auni Afiqah Abas, 30, berkata demikian semasa disoal balas peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari pada hari kelapan perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
  • Saksi pendakwaan ke-17 itu bersetuju dengan peguam bahawa dia ada menyatakan suara Zayn Rayyan seolah-olah ingin melepaskan diri daripada seseorang, semasa ditemu ramah satu media yang disiarkan secara langsung menerusi TikTok.

PETALING JAYA — Pengasuh kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa beliau mendengar suara kanak-kanak autistik itu seolah-seolah cuba melepaskan diri daripada seseorang semasa mencarinya bersama adiknya di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada petang hari kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Auni Afiqah Abas, 30, berkata demikian semasa disoal balas peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari pada hari kelapan perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Saksi pendakwaan ke-17 itu bersetuju dengan peguam bahawa dia ada menyatakan suara Zayn Rayyan seolah-olah ingin melepaskan diri daripada seseorang, semasa ditemu ramah satu media yang disiarkan secara langsung menerusi TikTok.

Haresh: Jadi, itu lah suara arwah Zayn Rayyan yang anda (Auni Afiqah) dengar pada petang 5 Dis 2023, betul?

Auni Afiqah: Ya, betul.

Auni Afiqah berkata semasa dia mendengar suara Zayn Rayyan, ibu bapa kanak-kanak itu dan adiknya yang kini berusia enam tahun pergi membuat laporan polis tentang kehilangan Zayn Rayyan.

Auni Afiqah turut bersetuju dengan peguam bahawa selain dia dan adiknya, terdapat juga kanak-kanak lain mendengar suara Zayn Rayyan pada petang itu dan dia ada memaklumkan perkara itu kepada pihak polis semasa keterangannya direkodkan.

Ditanya semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, bagaimana saksi itu mengetahui suara itu adalah suara Zayn Rayyan, Auni Afiqah menjawab “Sebab saya jaga dia (Zayn Rayyan), dia pernah buat suara macam itu dekat rumah”.

Aqharie: Dengar suara Zayn Rayyan yang macam mana maksud Auni dan saksi itu menjawab,”Suara macam errrrrrrrrrrr….”

Terdahulu, Auni Afiqah, yang tinggal di Blok F apartmen itu berkata Ismanira memaklumkan kepadanya bahawa Zayn Rayyan hilang menerusi WhatsApp pada 1 tengah hari, 5 Dis 2023 dan dia kemudian meminta Ismanira mencari kanak-kanak itu di blok bawah rumah.

Menurut Auni Afiqah, sekitar 6.30 petang pada hari sama (5 Dis), dia dan adiknya mencari Zayn Rayyan di kawasan blok R apartmen itu dan semasa misi pencarian dia menjerit nama Zayn Rayyan.

Dalam pada itu, Auni Afiqah yang menjaga Zayn Rayyan dan adik lelakinya sejak Jun atau Julai 2022 berkata walaupun Zayn Rayyan seorang kanak-kanak autistik, dia lemah lembut, ceria dan tidak agresif.

“Dia (Zayn Rayyan) tidak boleh bercakap, dia dengan dunia dia dan hanya boleh bercakap ‘mommy’ yang merujuk kepada Ismanira. Sekiranya mengalami tantrum, dia akan duduk dan berlaku pergerakan tangan dan apabila saya sebut mommy dia akan senyap,” katanya yang mengasuh enam kanak-kanak termasuk Zayn Rayyan dan adiknya.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya dan mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan bersambung petang. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *