Antarabangsa
Penaja ‘lari’ dari Persatuan Bola Sepak Israel

- Syarikat pakaian sukan Itali, Erreà dilapor telah menarik diri daripada kontrak penajaan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
- Menurut BDS, akibat desakan boikot yang semakin meningkat, Erreà menarik diri daripada kontrak tersebut. Jenama itu juga dikatakan masih belum membekalkan sebarang jersi kepada IFA walau sudah lebih satu bulan setengah kontrak bermula.
Syarikat pakaian sukan Itali, Erreà dilapor telah menarik diri daripada kontrak penajaan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
Perkara itu dinyatakan dalam laman web Gerakan boikot, pelupusan dan sekatan (BDS) ke atas Israel.
Menurut kenyataan itu, selepas Adidas dan PUMA, Erreà menjadi jenama sukan terbaru yang menyedari betapa toksiknya jenama Israel dan IFA.
Erreà dilapor menandatangani kontrak penajaan selama dua tahun dengan IFA pada Ogos 2024.
Jenama itu sepatutnya menggantikan syarikat multinasional Jerman, PUMA pada 1 Januari 2025 berikutan PUMA tidak memperbaharui kontraknya dengan IFA selepas kempen boikot global selama lima tahun.
Berita mengenai keterlibatan Erreà dalam jenayah Israel terhadap rakyat Palestin segera disambut dengan seruan untuk memboikot syarikat itu.
Menurut BDS, akibat desakan boikot yang semakin meningkat, Erreà menarik diri daripada kontrak tersebut. Jenama itu juga dikatakan masih belum membekalkan sebarang jersi kepada IFA walau sudah lebih satu bulan setengah kontrak bermula.
Erreà kini dilapor telah secara rasmi menarik diri daripada kontrak tersebut.
“Kami berterima kasih kepada ramai individu di Itali dan seluruh dunia yang menyokong gesaan rakyat Palestin agar Erreà melakukan perkara yang betul dengan menamatkan keterlibatannya dalam rejim apartheid Israel dan genosid di Gaza,” jelas BDS.
Pada 2018, Adidas juga tidak memperbaharui kontraknya dengan IFA selepas kempen yang diketuai oleh pasukan sukan Palestin dan penghantaran 16,000 tandatangan ke ibu pejabat Adidas.
Media Israel melaporkan bahawa IFA kini telah menandatangani perjanjian dua tahun dengan Reebok, dan logo syarikat itu kini muncul di laman web rasmi IFA sebagai penaja baharu.
“Kami menggesa Reebok untuk segera menarik diri daripada kontraknya dengan IFA bagi mengelakkan keterlibatan dalam jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan genosid yang dilakukan oleh Israel.
“Sekiranya Reebok meneruskan penajaan yang bersifat jenayah dan tidak beretika ini, ia akan berdepan dengan kempen boikot antarabangsa seperti yang telah dialami oleh Erreà, PUMA dan Adidas sebelum ini,” amaran BDS buat Reebok.-The Merdeka Times
