Connect with us

Terkini

Pembubaran LPN punca kartel padi, beras ‘bermaharajalela’ – PeSAWAH

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto : Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob
  • Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dakwa aktiviti kartel di dalam negara wujud dan ‘bermaharajalela’ ekoran pembubaran Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) selepas BERNAS diswastakan pada 1996.
  • Menurut Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob di era LPN, isu kartel dalam industri ini boleh dikatakan tidak berlaku.
  • Pengilang Bumiputera dapat berdaya saing dengan baik.
  • Selepas ia diswastakan satu persatu kilang Bumiputera gulung tikar yang akhirnya menyaksikan kartel kini menjadi sangat bermaharajalela.
  • “Kita nampak lepas LPN diswastakan,  semakin hari industri semakin merudum…,” katanya kepada The Merdeka Times pada Isnin.
  • PeSAWAH tuntut LPN dihidupkan semula supaya industri padi dapat berdaya maju semula.

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa aktiviti kartel membabitkan industri padi dan beras di dalam negara wujud dan ‘bermaharajalela’ ekoran pembubaran Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) selepas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) diswastakan pada 1996.

Menurut Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob di era LPN, isu kartel dalam industri ini boleh dikatakan tidak berlaku, malah pengilang-pengilang Bumiputera dapat berdaya saing dengan baik tetapi selepas ia diswastakan satu persatu kilang Bumiputera gulung tikar yang akhirnya menyaksikan kartel kini menjadi sangat bermaharajalela.

Beliau mendakwa di era LPN juga negara ini berjaya mencapai Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 92 peratus dalam pengeluaran beras yang sekali gus membuatkan kebergantungan terhadap import adalah kurang dan pengeluaran padi juga boleh dilakukan dengan lebih baik.

“Pengilang-pengilang Bumiputera masa di era LPN kita ada lebih daripada 200 lebih pengilang Bumiputera yang kita kata bergerak maju yang dapat berdaya saing dengan baik, tetapi selepas penswastaan LPN kepada BERNAS kita nampak sekarang ni yang berlaku sekarang adalah pengilang-pengilang gulung tikar.

“Tutup satu persatu dan termasuklah terbaru yang dikhabarkan kita tengok Kilang Dibuk lah yang dimaklumkan akan ditutup juga jadi di situ kita nampak apa yang tak kena…Daripada dulu 200 lebih sekarang kita hanya ada tinggal 11 sahaja dan di Kedah ada 4 kilang sahaja.

“Kita nampak lepas LPN diswastakan,  semakin hari industri semakin merudum dan juga menyuram dari sudut pembangunan melibatkan industri padi berbanding kita tengok jiran lain, Indonesia, Vietnam, bila kita ada satu konsep liberalisasi maksudnya kita terbukaan pasaran dan sebagainya, kita nampak lebih baik.

“Tapi bila kita tengok sekarang bila dikawal secara rapi, tapi dari  sudut yang lain kita ‘melondehkan’ untuk memberikan banyak kelebihan kepada orang-orang dipanggil kartel kita nampak industri dah tempang dan menjurus kepada monopoli.

“Jadi ini yang kita rasa nampak tak betul, pesawah melihat di sini dari sudut teorinya dan selepas LPN itu dimansuhkan ditukar kepada Bernas dan kita tengok sekarang ni kesan itu dah ada dan kita dalam penerbitan (laporan akhbar) ataupun matlamat, pesawah juga kita menuntut dikembalikan LPN (supaya industri padi dapat berdaya maju semula),” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut berkenaan sejak bilakah isu kartel berlaku dalam industri padi dan beras negara memandangkan Abdul Rashid sebelum itu menyatakan bahawa isu berkenaan telah lama berlaku dan reformasi perlu dilakukan ke atas industri berkenaan membabitkan penstrukturan organisasi, polisi dan dasar. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sabtu lalu dilaporkan mendedahkan wujudnya kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran dan beliau sudah sering kali mendedahkan mengenai isu terbabit namun dinafikan kementerian.

Untuk rekod, gesaan supaya LPN dikembalikan semula bagi menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras sudah banyak kali disuarakan sejak beberapa tahun lalu oleh pelbagai pihak, termasuk PeSAWAH, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh.  — The Merdeka Times

Author