Connect with us

Terkini

Haramkan import cecair vape, tingkat penguatkuasaan – Pengarah Nanostix

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata pengharaman penuh industri bukan jawapan kepada pelbagai isu berbangkit seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.
  • Katanya,  masih banyak masalah belum ditangani seperti penguatkuasaan lemah, penjualan cecair vape dibancuh pihak tidak dikenali, dihasilkan tanpa pemantauan, diseludup ke Malaysia tanpa membayar cukai.
  • Untuk atasi isu, kerajaan perlu mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dan pada masa sama tingkatkan penguatkuasaan dan bukannya tutup industri tempatan yang sah dan terkawal.

KUALA LUMPUR — Kerajaan diminta meneliti sebaiknya cadangan mengharamkan rokok elektronik dengan mempertimbangkan nasib pengusaha vape yang beroperasi secara sah dan menepati kualiti.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata pengharaman penuh industri bukan jawapan kepada pelbagai isu berbangkit seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.

Ini kerana menurut beliau masih banyak masalah belum ditangani seperti penguatkuasaan lemah sehingga penjualan berleluasa, cecair vape dibancuh pihak tidak dikenali, dihasilkan tanpa pemantauan dan diseludup ke Malaysia tanpa membayar cukai.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara, pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan di setiap premis jualan vape dan bukannya menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.

“Produk ini dijual secara terbuka tanpa pemantauan, membahayakan pengguna dan menjejaskan industri tempatan yang beroperasi secara sah.

“Syarikat tempatan perlu membayar cukai dan mematuhi peraturan ketat, tetapi produk import berbahaya ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang kawalan,” katanya dipetik media tempatan  hari ini.

Shahabudeen berpandangan pengharaman terus industri vape tidak adil kepada pengusaha tempatan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi.

Beliau berkata Nanostix membayar lebih RM60 juta cukai dan duti eksais kepada kerajaan pada tahun lalu, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Sebaliknya, produk import yang tidak dikawal dan produk haram ini tidak memberikan sumbangan kewangan kepada kerajaan.

“Mereka tidak membayar cukai, tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan produk dan dibiarkan memasuki pasaran secara haram,” katanya.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan bersedia untuk meneliti semula kemungkinan pengharaman penuh vape di Malaysia, selepas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin – berkata adalah sukar bagi kerajaan untuk mengharamkan vape.

Sebaliknya, Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah.

Kenyataan beliau itu mengundang reaksi Doktor Farmasi Klinikal, Profesor Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed yang ringkas berkata, “Tak hendak seribu dalih.”— The Merdeka Times

Author