Terkini
Azmin dakwa PKNS rugi ratusan juta ringgit jual tanah Broga bawah harga pasaran

- ADUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dakwa PKNS berdepan kerugian besar selepas jual plot tanah Broga di Semenyih pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
- Kerugian dianggarkan antara RM95 juta dan RM154 juta.
- Tanah seluas 897 ekar itu dijual pada harga hanya RM6.73 satu kaki persegi, sedangkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2022 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM10 satu kaki persegi, manakala perunding swasta pula meletakkan RM11.68 satu kaki persegi.
- “Apakah kerajaan negeri ini ejen jual tanah? Sedangkan mandat yang diberikan kepada PKNS pada 1960 adalah untuk membuka perumahan dan membina rumah mampu milik dan kos rendah untuk rakyat negeri Selangor.
- “Hari ini, PKNS menjadi ejen menjual tanah pada harga yang jauh lebih rendah daripada apa yang dibuat penilaian oleh JPPH,” kata Azmin ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Selangor yang disiarkan menerusi klip video dimuat naik di Facebook-nya semalam.
KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berdepan kerugian besar selepas menjual plot tanah Broga di Semenyih pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendedahkan kerugian ditanggung dianggarkan antara RM95 juta hingga RM154 juta.
Beliau berkata tanah seluas 897 ekar itu dijual pada harga hanya RM6.73 satu kaki persegi, sedangkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2022 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM10 satu kaki persegi, manakala perunding swasta pula meletakkan RM11.68 satu kaki persegi.
ADUN Hulu Kelang itu turut membentangkan laporan mesyuarat PKNS pada Februari 2024 yang menunjukkan tanah Broga seluas 997 ekar terdiri daripada tiga plot dijual pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa. Bagi plot satu dan dua berkeluasan 897 ekar, sementara plot tiga berkeluasan 100 ekar dan mempunyai aktiviti batu kuari.
Difahamkan, tanah plot merujuk kepada tanah yang tidak mempunyai geran tanah secara individu seperti tanah lot dan merupakan sebahagian tanah yang berkongsi hak milik dengan orang lain dalam lot sama dengan geran tanah sama.
“Apakah kerajaan negeri ini ejen jual tanah? Sedangkan mandat yang diberikan kepada PKNS pada 1960 adalah untuk membuka perumahan dan membina rumah mampu milik dan kos rendah untuk rakyat negeri Selangor.
“Hari ini, PKNS menjadi ejen menjual tanah pada harga yang jauh lebih rendah daripada apa yang dibuat penilaian oleh JPPH,” kata Azmin ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Selangor yang disiarkan menerusi klip video dimuat naik di Facebook-nya semalam.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor turut mempersoalkan tindakan PKNS yang hanya menerima satu penyertaan untuk membida tanah tersebut, iaitu syarikat Trans Loyal Development Sdn Bhd.
Azmin yang pernah menjadi pengerusi PKNS ketika menjadi MB, berkata jika hanya satu syarikat yang membida, proses tender sepatutnya dibuka semula bagi memastikan ada ketelusan tetapi malangnya ia tidak berlaku dalam hal ini, sebaliknya PKNS didakwa terus mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat tersebut.
ADUN Hulu Kelang itu mempertikaikan alasan dikemukakan PKNS menjual plot tanah dengan harga jualan lebih rendah disebabkan hanya 74 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah tersebut boleh dibangunkan.
“Apa alasan PKNS? dalam kertas penjualan tanah kepada Trans Loyal Development Sdn. Bhd. kononnya, keluasan yang boleh digunakan bagi tujuan pembangunan adalah hanya 669 ekar sahaja ataupun 74 peratus daripada keluasan 897 ekar (untuk plot 1 dan 2).Â
“Tetapi bila dipindahkan hak milik tanah ini, PKNS telah memindahkan keseluruhan 897 ekar kepada syarikat Trans Loyal Development Sdn Bhd. tidak langsung syarikat perlu membayar tanah seluas 231 ekar kepada PKNS… mendapat percuma,” katanya sambil menambah bahawa jualan bagi tanah plot tiga lebih “seronok” apabila PKNS menjual pada harga cuma RM5.73 satu kaki persegi, sambil mendedahkan satu lagi salinan surat tawaran sebagai bukti.
Katanya, hasil carian beliau mendapati pemilik bagi tanah plot satu dan dua berbeza nama syarikat, iaitu masing-masing adalah Trans Loyal Development Sdn Bhd dan Sutera Maya Resources Sdn. Bhd. tetapi terdiri daripada pemegang saham dan lembaga pengarah yang sama.
“Mengapa tanah berkeluasan ratusan ekar boleh terlepas kepada syarikat-syarikat ini?” soalnya.
PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (1964) sebagai badan berkanun dan agen pembangunan bagi negeri Selangor. — The Merdeka Times
