Terkini
64 peratus kes HIV pada 2024 disebabkan homoseksual dan biseksual

- 2,037 kes iaitu 64.0 peratus daripada jumlah 3,185 kes jangkitan HIV yang dilaporkan pada 2024 adalah jangkitan menerusi hubungan homoseksual dan biseksual.
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata salah satu faktor utama peningkatan jangkitan HIV melalui hubungan seksual adalah penggunaan kondom yang kurang konsisten, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko.
- Cabaran itu lebih kompleks apabila penggunaan dadah dan bahan terlarang semakin berleluasa, terutama dalam kalangan muda yang seterusnya meningkatkan tingkah laku seksual berisiko seperti tidak menggunakan kondom atau mengadakan hubungan seks lebih daripada satu pasangan akibat di bawah pengaruh dadah.
KUALA LUMPUR — Sebanyak 2,037 kes iaitu 64.0 peratus daripada jumlah 3,185 kes jangkitan HIV yang dilaporkan pada 2024 adalah jangkitan menerusi hubungan homoseksual dan biseksual.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata salah satu faktor utama peningkatan jangkitan HIV melalui hubungan seksual adalah penggunaan kondom yang kurang konsisten, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko.
Katanya, cabaran itu lebih kompleks apabila penggunaan dadah dan bahan terlarang semakin berleluasa, terutama dalam kalangan muda yang seterusnya meningkatkan tingkah laku seksual berisiko seperti tidak menggunakan kondom atau mengadakan hubungan seks lebih daripada satu pasangan akibat di bawah pengaruh dadah.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah berterusan dalam usaha untuk mengekang jangkitan HIV iaitu antaranya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai HIV/AIDS dan langkah-langkah pencegahan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko.
“Menggalakkan masyarakat terutamanya mereka yang berisiko untuk menjalani ujian saringan HIV secara berkala di mana-mana fasiliti kesihatan atau menjalani ujian HIV kendiri dan mendapatkan rawatan antiretroviral (ARV) segera bagi memastikan kesihatan diri terjamin dan di masa sama tidak menularkan jangkitan kepada individu lain.
“Pasangan kepada orang yang hidup dengan HIV pula disarankan mengambil rawatan pencegahan HIV iaitu Pre-Exposure Prophylaxis’ atau PrEP, bagi memastikan mereka terus bebas jangkitan HIV.
“Serta mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai agensi pemegang taruh, termasuk pertubuhan badan kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan program pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit dilaksanakan secara whole-of-society and whole-of-goverment-approach,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis pada Rabu yang disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan statistik penyakit kelamin yang berpunca daripada gejala songsang MSM (hubungan seks lelaki dengan lelaki) dan nyatakan faktor yang mendorong kepada perkembangan gejala songsang tersebut di dalam negara ini.— The Merdeka Times
