Agama
Hak hamba dalam Islam lebih berperikemanusiaan

Di dunia moden kini, konsep perhambaan mungkin dianggap sudah lenyap, digantikan dengan norma hak pekerjaan yang ‘adil’ dan ‘berperikemanusiaan’..
Namun hakikatnya, bentuk perhambaan baru masih muncul dalam pelbagai aspek kehidupan.
Baru-baru ini ia tersembunyi di sebalik istilah yang lebih lunak seperti ‘pembantu rumah’ atau ‘pekerja domestik’.
Perlu ditekan bahawa tidak semua sistem pembantu rumah adalah bentuk ‘perhambaan’ tetapi amalan yang menindas pekerja perlu dikecam sekerasnya.
Sebagai contoh, kisah perit Farah, seorang pembantu rumah di Singapura yang baru-baru ini menggemparkan masyarakat dengan penderitaan yang dialaminya.
Meskipun tinggal di rumah majikan yang serba mewah, hak kebajikannya sebagai pekerja tidak terjaga sehingga menyebabkan dia terpaksa bergelut dalam keadaan lapar dan kebuluran.
Hidupnya hanya bergantung kepada mi segera dan roti mentega kacang selama tiga bulan walhal setiap hari dia menyediakan hidangan organik yang penuh nutrisi untuk majikannya.
Lebih tragis, dia dipaksa bekerja keras tanpa cukup makanan malah dilarang menyentuh lebihan makanan yang disimpan di peti sejuk.
Bahkan, apabila memasak untuk dirinya sendiri, majikannya mengeluh tentang bau masakan itu.
Situasi ini menggambarkan realiti pahit sistem pekerjaan moden yang tidak jauh bezanya daripada perhambaan zaman silam, di mana hak seorang manusia direndahkan semata-mata kerana statusnya sebagai pekerja.
Kisah ini mendorong kita merenung kembali bagaimana Islam menangani isu perhambaan lebih 1,400 tahun yang lalu dengan pendekatan yang penuh berperikemanusiaan dan kesaksamaan.
Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan:
“Hamba-hamba kamu merupakan saudara-saudara kamu dan Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungan kamu. Maka barangsiapa yang mempunyai seorang hamba di bawah tanggunggannya, hendaklah dia memberinya makan sama dengan apa yang dia makan dan memberinya pakaian yang sama dengan pakaiannya..” (Sahih Bukhari, No. 30)
Dalam Islam, kedudukan seorang hamba atau pekerja dianggap sebagai martabat seorang saudara, bukan alat untuk dieksploitasi.
Walaupun tidak dinafikan pekerja dibayar untuk melaksanakan tugasnya, Islam amat menekankan sikap ihsan dalam melayani mereka.
Malah, para sahabat Nabi seperti Abu Dzar RA dan Salman RA menunjukkan teladan yang baik dalam memperlakukan hambanya dengan penuh ihsan dan kasih sayang.
Misalnya, Salman RA memastikan hambanya tidak diberikan tugas berganda yang melebihi kemampuannya. Beliau berkata:
“Kami mengutus hamba itu untuk suatu urusan dan kami tidak suka jika dia mempunyai dua tugas sekaligus.” (Ḥilyat al-Awliyā’, No. 657)
Sementara Abu Dzar RA sanggup memberikan pakaian yang sama kepada hambanya seperti yang dia sendiri pakai sehingga tidak nampak perbezaan antara mereka. (Sahih Bukhari, No. 30)
Dalam dunia yang terus bergelut dengan isu penindasan pekerja, hakikatnya jalan penyelesaian telah pun diajarkan lebih seribu tahun lalu namun, dunia moden memilih untuk menutup mata.
Walhal Islam datang dengan sistem yang jauh lebih adil, berperikemanusiaan dan mengutamakan hak manusia tanpa mengira status sosial. Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah An-Nisa’ 4:36)
Begitulah ironinya, dalam dunia moden yang mendakwa telah ‘bebas’ daripada perhambaan, kita masih menyaksikan bentuk penindasan yang tidak kurang buruknya.
Kisah Farah hanyalah satu contoh daripada banyak kes yang barangkali tidak dilaporkan di mana pekerja domestik dibiarkan kelaparan, dipaksa bekerja tanpa henti dan dinafikan hak asasi mereka.
Perhambaan moden mungkin tidak kelihatan seperti rantai yang mengikat tangan, tetapi sedihnya, ia tetap wujud dalam bentuk ketidakadilan dan penindasan hak asasi manusia. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
