Terkini
Masih ada amah di Singapura tidak cukup makan disekat majikan

- Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata setiap tahun antara 2019 hingga 2023, pihaknya menerima sekitar 630 aduan daripada pembantu rumah tentang menerima makanan yang tidak mencukupi.
- Mediacorp melaporkan seorang pembantu rumah hijrahan berusia 38 tahun dari Filipina, Farah (bukan nama sebenar) selama tiga bulan hanya makan mi segera, roti dengan mentega kacang dan minum air kosong.
- Walaupun majikan Farah membenarkannya memasak untuk dirinya sendiri, majikannya sering komen tentang “bau”, meskipun Farah hanya menyediakan hidangan ringkas seperti nasi goreng dengan ikan bilis.
- “Walaupun dia tidak menyuruh anda berhenti melakukannya (memasak), dia memberitahu bahawa bau masakan itu tidak sedap dan dia tidak suka. Jadi, sudah tentu anda terpaksa berhenti,” kata Farah, yang akhirnya terpaksa makan mi segera setiap hari, kadangkala bersama telur rebus, semata-mata untuk menyenangkan hati bekas majikannya.
- “Saya dulu suka memasak, tetapi dalam kes dia, ia menjadi seperti mimpi buruk,” katanya sambil menambah bahawa berat badannya turun 12 kilogram dalam tempoh tiga bulan tersebut.
KUALA LUMPUR — Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata setiap tahun antara 2019 hingga 2023, pihaknya menerima sekitar 630 aduan daripada pembantu rumah tentang menerima makanan yang tidak mencukupi.
“Kebanyakan aduan ini berpunca daripada salah faham antara majikan dengan pembantu rumah hijrahan (migran) mereka mengenai keperluan dan tabiat pemakanan,” kata jurucakap MOM dipetik Mediacorp pada 4 Januari lalu.
Ia membentuk kira-kira 0.2 peratus daripada jumlah purata keseluruhan bilangan pembantu rumah dalam tempoh yang sama itu.
“Ini hampir sama dengan hasil Tinjauan MOM terhadap Pembantu Rumah Hijrahan dan Majikan Pembantu Rumah Hijrahan 2021, yang mendapati bahawa lebih daripada 99 peratus pembantu rumah hijrahan yang ditinjau berpuas hati dengan kecukupan makanan yang disediakan,” tambah jurucakap itu.
Mediacorp melaporkan seorang pembantu rumah hijrahan berusia 38 tahun dari Filipina, Farah (bukan nama sebenar) selama tiga bulan hanya makan mi segera, roti dengan mentega kacang dan minum air kosong.
Namun pada masa sama, Farah setiap hari perlu mengunjungi Little Farms, sebuah kedai runcit mewah yang terkenal dengan hasil organik untuk membeli bahan-bahan bagi menyediakan hidangan bagi majikannya.
Majikan wanita itu bukan sahaja memerlukannya mengikuti resipi yang rumit namun Farah juga tidak dibenarkan makan lebihan makanan yang telah disediakan, walaupun makanan berkenaan disimpan dalam peti sejuk selama beberapa hari.
Walaupun majikan Farah membenarkannya memasak untuk dirinya sendiri, majikannya sering komen tentang “bau”, meskipun Farah hanya menyediakan hidangan ringkas seperti nasi goreng dengan ikan bilis.
“Walaupun dia tidak menyuruh anda berhenti melakukannya (memasak), dia memberitahu bahawa bau masakan itu tidak sedap dan dia tidak suka. Jadi, sudah tentu anda terpaksa berhenti,” kata Farah, yang akhirnya terpaksa makan mi segera setiap hari, kadangkala bersama telur rebus, semata-mata untuk menyenangkan hati bekas majikannya.
“Saya dulu suka memasak, tetapi dalam kes dia, ia menjadi seperti mimpi buruk,” katanya sambil menambah bahawa berat badannya turun 12 kilogram dalam tempoh tiga bulan tersebut.
Farah meninggalkan bekas majikannya pada Oktober lalu untuk pergi ke sebuah pusat perlindungan dan kemudian keluar dari pusat tersebut untuk bekerja dengan majikan baharu.
Pengalaman Farah mengetengahkan tentang satu aspek berkaitan dengan isu layanan terhadap pembantu rumah yang tidak dinafikan akses kepada makanan sepenuhnya sehingga kebuluran, tetapi juga tidak diberi makanan mencukupi, sehingga sering menyebabkan mereka bergelut dengan keadaan lapar dan memerlukan pemakanan lebih baik dan diet seimbang.
Dari segi aspek perundangan, pengurus kanan penyelidikan dan advokasi di Humanitarian Organisation for Migration Economics (HOME), Jaya Anil Kumar berkata sekalipun Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA) menyatakan bahawa majikan mesti menyediakan “makanan yang mencukupi”, namun istilah “mencukupi” itu boleh menjadi samar-samar.
Jaya berkata sungguhpun akta tersebut memberikan garis panduan, ia tidak mengikat dari segi undang-undang.— The Merdeka Times
