Terkini
Kes buli UPNM jadi ‘Efek peniruan’ kepada pelajar IPT lain – Pakar Psikologi
- Gejala buli di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini dilihat semakin membimbangkan apabila segelintir pelajar universiti dipercayai meniru tingkah laku tersebut kerana terpengaruh dengan kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
- Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata ia dikenali sebagai ‘efek peniruan’ yang membuatkan pelajar IPT beranggapan kejadian beberapa kes buli di UPNM sebagai tindakan yang boleh diterima kerana hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dilihat terlalu ringan.
- Beliau turut menjelaskan meskipun pelajar IPT dikategorikan sebagai golongan dewasa dari segi umur, namun dari sudut kematangan emosi dan moral mereka belum lagi mencapai kematangan selaras dengan umur berikut.
- Fauziah memetik Teori ‘Erikson’ dari sudut pendidikan Psikologi bahawa tahap perkembangan dewasa yang berumur 18 hingga 25 tahun masih berada di fasa mengembangkan kemahiran pemikiran kritis, moral pencarian identiti serta hubungan sosial.
KUALA LUMPUR – Gejala buli di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini dilihat semakin membimbangkan apabila segelintir pelajar universiti dipercayai meniru tingkah laku tersebut kerana terpengaruh dengan kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata ia dikenali sebagai ‘efek peniruan’ yang membuatkan pelajar IPT beranggapan kejadian beberapa kes buli di UPNM sebagai tindakan yang boleh diterima kerana hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dilihat terlalu ringan.
“Efek peniruan, yang mana pelajar lain melihat kejadian tersebut sebagai tindakan yang boleh diterima kerana hukuman yang tidak tegas dan tidak memberi impak yang besar,” kataya kepada The Merdeka Times, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada The Merdeka Times bagi mengulas mengenai kes 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan membuli seorang penuntut di universiti yang sama sehingga mengalami kecederaan yang teruk.
Fauziah mendedahkan, sekiranya kes keganasan sebegitu kian dinormalisasikan dan tidak diselesaikan dengan tuntas, pelajar -pelajar IPT akan menyangka ia sebagai sesuatu yang normal.
“Penyebaran kes buli tanpa tindakan tegas boleh memperkuatkan imej buli sebagai budaya dalam universiti.
“Mereka (pelajar IPT) mungkin gagal melihat buli sebagai sesuatu yang salah kerana dianggap normal atau sebahagian budaya tertentu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan meskipun pelajar IPT dikategorikan sebagai golongan dewasa dari segi umur, namun dari sudut kematangan emosi dan moral mereka belum lagi mencapai kematangan selaras dengan umur berikut.
Fauziah memetik Teori ‘Erikson’ dari sudut pendidikan Psikologi bahawa tahap perkembangan dewasa yang berumur 18 hingga 25 tahun masih berada di fasa mengembangkan kemahiran pemikiran kritis, moral pencarian identiti serta hubungan sosial.
“Namun, kematangan emosi dan sosial mereka bergantung kepada didikan awal iaitu latar belakang keluarga yang menggalakkan empati dan kebertanggungjawaban.
“Pengalaman hidup pelajar IPT yang mempunyai kurang pendedahan kepada situasi yang mencabar moral mungkin sukar menilai impak tindakan mereka.
“Kurangnya sokongan kaunseling di universiti boleh menjejaskan kematangan emosi mereka,” katanya.
Tegasnya, kerajaan merupakan entiti terpenting dalam memberi kesedaran bahawa gejala buli ini sewajarnya dihentikan serta merta bersama jalinan kerjasama antara institusi pendidikan dengan menggubal semula polisi Anti-Buli yang dilengkapi bersama hukuman berat terhadap pembuli di IPT.
Sebelum ini, 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir di sebuah kolej kediaman telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mangsa yang berusia 21 tahun, pelajar jurusan perakaunan, dilaporkan dipukul secara bergilir-gilir oleh 12 pelajar sehingga mengalami kecederaan dalaman dan patah di tulang rusuk sebelah kiri. – The Merdeka Times