Terkini
Kenaikan 815 peratus kes autisme tiada kaitan vaksin – Pakar Perubatan
- Dr Amirul Amzar berkata tuduhan bahawa vaksin menyebabkan autisme adalah salah dan merupakan ‘misinformasi’ (informasi yang salah atau menyesatkan) di mana salah faham ini mungkin berpunca daripada kajian yang mendakwa terdapat aluminium dalam otak individu autisme.
- Menolak dakwaan itu, Dr Amirul berkata aluminium tidak datang dari vaksin seperti yang digembar-gemburkan segelintir pihak.
- “…. Aluminium yang disuntik melalui vaksin sukar untuk memasuki otak… Ia kekal di tempat suntikan (otot) untuk mencetuskan imuniti dan penghasilan antibodi, dan hanya sedikit yang memasuki salur darah dan dikumuhkan. Oleh itu, aluminium dalam vaksin tidak menyebabkan pengumpulan dalam otak,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Seorang pakar perubatan keluarga menegaskan bahawa kenaikan statistik autisme tiada kaitan dengan vaksinasi.
Penegasan itu disuarakan apabila terdapat segelintir pihak, khususnya pengguna Facebook dilihat mendakwa peningkatan jumlah kanak-kanak disahkan alami autisme yang dilaporkan naik 815 peratus dalam masa 11 tahun adalah disebabkan pengambilan vaksin.
Dr Amirul Amzar berkata tuduhan bahawa vaksin menyebabkan autisme adalah salah dan merupakan ‘misinformasi’ (informasi yang salah atau menyesatkan) di mana salah faham ini mungkin berpunca daripada kajian yang mendakwa terdapat aluminium dalam otak individu autisme.
Menolak dakwaan itu, Dr Amirul berkata aluminium tidak datang dari vaksin seperti yang digembar-gemburkan segelintir pihak.
“Aluminium adalah unsur ketiga tertinggi di bumi dan terdapat dalam banyak bahan, termasuk makanan dan susu ibu. Dalam vaksin, aluminium digunakan sebagai adjuvan, iaitu bahan yang membantu meningkatkan keberkesanan vaksin.
“Jumlah aluminium dalam vaksin jauh lebih rendah berbanding kandungan aluminium dalam susu ibu. Secara keseluruhannya, jumlah aluminium yang diterima bayi melalui vaksin dalam tempoh 6 bulan adalah sekitar 4mg, manakala dalam susu ibu, ia sekitar 7mg dalam tempoh yang sama.
“Bahkan, jika bayi diberi susu formula, kandungan aluminium yang diserap badan lebih daripada 30mg. Walaupun begitu, ini semua tidak menyebabkan autisme kerana tubuh manusia mempunyai mekanisme untuk mengeluarkan aluminium.
“Tambahan pula, aluminium yang disuntik melalui vaksin sukar untuk memasuki otak… Ia kekal di tempat suntikan (otot) untuk mencetuskan imuniti dan penghasilan antibodi, dan hanya sedikit yang memasuki salur darah dan dikumuhkan. Oleh itu, aluminium dalam vaksin tidak menyebabkan pengumpulan dalam otak,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa peningkatan kes autisme adalah disebabkan pengambilan vaksin.
Dakwan itu timbul susulan pada 20 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan jumlah kanak-kanak disahkan alami autisme meningkat amat ketara iaitu naik 815 peratus daripada 6,991 kes pada 2013 kepada 63,966 kes setakat September tahun ini.
Mengulas lanjut, Dr Amirul berkata Andrew Wakefield adalah nama yang sering dikaitkan dengan salah faham ini, di mana beliau adalah doktor yang mengeluarkan kajian palsu mengaitkan vaksin MMR (measles, mumps & rubella) dengan autisme.
Katanya, kajian Andrew Wakefield telah ditarik balik dan beliau dilucutkan daripada pendaftaran sebagai doktor di UK kerana konflik kepentingan dan pemalsuan data serta sehingga kini, tiada kajian lanjutan yang menyokong dakwaannya.
“Vaksin MMR yang menjadi sasaran tuduhan adalah vaksin untuk mencegah campak, beguk dan rubela… Sekiranya vaksin ini tidak diambil, anak berisiko untuk mendapat jangkitan campak yang boleh menyebabkan kerosakan otak kekal.
“Rubela juga berisiko menyebabkan kecacatan otak pada bayi jika ibu mengandung terdedah kepadanya… Oleh itu, risiko kecacatan otak lebih tinggi tanpa vaksin berbanding dengan mengambilnya.
“Autisme adalah gangguan perkembangan neuro yang kompleks dan sedang dikaji… Faktor penyebab yang telah disahkan termasuk umur ibu bapa yang lebih tua, faktor genetik, penyakit kronik seperti diabetes semasa mengandung, jangkitan seperti rubella dan influenza, serta pendedahan kepada bahan toksik seperti logam berat,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko autisme, Dr Amirul menyarankan ibu bapa untuk menjaga kesihatan semasa mengandung, mendapatkan vaksinasi untuk mengelakkan jangkitan, dan mengambil asid folik sebelum hamil.
“Jika anak didiagnosis dengan autisme, bantuan awal adalah penting. Dengan sokongan yang tepat, mereka masih berpeluang untuk menjalani kehidupan yang penuh makna, dan menjadi ahli masyarakat yang berjaya, seperti anak-anak lain. InsyaAllah,” katanya. — The Merdeka Times