Connect with us

Terkini

KDN kaji kesesuaian guna POCA terhadap kumpulan kultus

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji kesesuaian menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) terhadap kumpulan kultus.
  • Kementerian menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen pada Isnin berkata undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan masalah sedemikian secara holistik disebabkan masalah teknikal perundangan seperti mana undang-undang pencegahan.
  • Jika terdapat keperluan meminda akta berkenaan, kementerian akan melaksanakan tindakan sewajarnya, termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang berkepentingan.
  • Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada kerajaan bercadang menggubal atau meminda undang-undang baharu bagi mengekang kegiatan kumpulan kultus (cult) dengan lebih berkesan dan menyeluruh seperti GISB Holdings yang kini disiasat pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengeksploitasi agama, pemerdagangan orang, penganiayaan kanak-kanak dan sebagainya.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji kesesuaian menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) terhadap kumpulan kultus.

Kementerian itu berkata undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan masalah sedemikian secara holistik disebabkan masalah teknikal perundangan seperti mana undang-undang pencegahan.

Katanya, jika terdapat keperluan meminda akta berkenaan, kementerian akan melaksanakan tindakan sewajarnya, termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang berkepentingan.

“Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) yang menggariskan sebanyak empat teras dan mengandungi 15 Fokus Strategik, 59 Inisiatif dan 60 Petunjuk Prestasi Utama.

“Kerajaan percaya pelan tersebut berupaya untuk mencegah penularan fahaman pelampau di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini pada Isnin.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada kerajaan bercadang menggubal atau meminda undang-undang baharu bagi mengekang kegiatan kumpulan kultus (cult) dengan lebih berkesan dan menyeluruh seperti GISB Holdings yang kini disiasat pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengeksploitasi agama, pemerdagangan orang, penganiayaan kanak-kanak dan sebagainya.

Selaku kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, KDN berkata pihaknya sentiasa komited dalam mengkaji dan menambahbaik semua undang-undang di bawah kawal selia mereka, termasuk undang-undang melibatkan kesalahan keselamatan.

Menurut laman web Dewan Bahasa dan Pustaka, kultus membawa maksud kumpulan agama yang setia kepada pemimpin yang masih hidup, ajaran baharu atau amalan yang luar biasa.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *