Terkini
(VIDEO) Akta berkaitan ketaasuban dan pengkultusan perlu digubal
KUALA LUMPUR — Beberapa akta berkaitan ketaasuban dan pengkultusan perlu digubal supaya ada kawalan lebih ketat terhadap isu-isu sedemikian, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rufayda Academy, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad.
Mohamad Razif berkata untuk melaksanakan usaha itu ia memerlukan kerjasama yang baik di antara pihak berkuasa negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata pemerintah atau pemimpin juga wajar bersikap neutral dalam memastikan apa jua isu berkaitan ketaasuban dan pengkultusan dapat ditangani seadilnya.
“Akta dalam KDN (Kementerian Dalam Negeri) boleh, kemudian enakmen-enakmen di peringkat negeri pun boleh diteliti semula.
“Khususnya berkaitan dengan agama yang hanya bukan berfokus kepada isu-isu kecil tetapi hal yang melibatkan perkara penting, khususnya berkaitan isu-isu ajaran sesat dan sebagainya itu yang perlu diberi perhatian,” kata Mohamad Razif kepada The Merdeka Times (TMT) ketika ditemui di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL di sini hari ini selepas beliau selesai membuat pembentangan di Konvensyen Sunnah ke-12 yang bertemakan “Ekstremisme & Pengkultusan: Merungkai faktor & solusi penyelesaian”.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita berkenaan bagaimanakah cara untuk pemerintah negara ini mendepani ketaasuban dan pengkultusan, susulan beliau menerusi konvensyen anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia (“IQ Malaysia”) itu membentangkan topik, ‘Peranan pemerintah dalam memelihara keharmonian dan membendung ketaksuban’.
Menerusi pembentangan itu, beliau berkata terdapat empat perkara asas syariah yang jika dipegang dengan betul oleh pemerintah ketika melaksanakan sebarang perkara melibatkan perundangan dan perkara hendak disampaikan, maka banyak permasalahan dalam masyarakat dapat diselesaikan.
Empat perkara itu adalah Al-Hikmah (kebijaksanaan), al-’adl (keadilan), al-rahmah (belas kasihan) dan al-maslahah (kebaikan).
“Kepincangannya, kadang-kadang hikmah tak ada, kadang-kadang adilnya tak ada, kadang-kadang rahmahnya tak ada, kadang-kadang semua pun tak ada .
“Maka inilah menjadi masalah yang menyebabkan akhirnya masyarakat makin terus berpecah-belah, makin terus berada dalam porak-peranda dan tak akan selesai dengan isu kultus, ekstremisme selagi empat perkara ini tak diberi perhatian dengan sempurna,” kata Mohamad Razif.
Menyimpulkan topik itu kepada TMT, Mohamad Razif berkata pemerintah mempunyai peranan yang besar khususnya dari sudut menerapkan polisi dan peraturan supaya masyarakat ada pemahaman jelas dalam isu ketaasuban dan pengkultusan.
“Pendidikan yang berterusan sebelum pelaksanaan apa-apa jua undang-undang perlulah diberi perhatian yang serius.
“Kita tak nak masyarakat jadi macam memberontak, tak faham dan sebagainya (maka kita perlu) fahamkan masyarakat dalam bentuk pendidikan yang berterusan tentang kepentingan untuk kita ini ada sistem yang lebih tersusun khususnya dalam menangani isu-isu berkaitan dengan ajaran sesat, pengkultusan dan sebagainya,” katanya.— The Merdeka Times