Terkini
‘The Straight Path Convention’ 23 dan 24 Nov perkasakan generasi muda Islam
- Konvensyen pendidikan Islam tahunan terkemuka di negara ini, The Straight Path Convention (TSP) akan berlangsung bagi kali ke-10 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada 23 dan 24 November ini.
- Bertemakan “PROPHETIC LEGACY: Empowering Next Gen”, konvensyen itu bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keutamaan pendidikan berlandaskan kefahaman dan sudut pandang sahih berteraskan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam kalangan generasi muda, menerusi dialog dan perbincangan dinamik serta membuka minda.
- “Menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk memperkuatkan generasi anak muda kita dengan prinsip dan nilai Islam, membantu mereka menemui semula tujuan hidup dan jati diri mereka dengan Islam, bertunjangkan ajaran Nabi Muhammad SAW. Ini adalah tema utama konvensyen tahun ini, Inshaa Allah,” kata pengasas yang juga Pengarah The Straight Path Convention, Farid Ullah Ahmed Hussain.
KUALA LUMPUR — Konvensyen pendidikan Islam tahunan terkemuka di negara ini, The Straight Path Convention (TSP) akan berlangsung bagi kali ke-10 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada 23 dan 24 November ini.
Bertemakan “PROPHETIC LEGACY: Empowering Next Gen”, konvensyen itu bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keutamaan pendidikan berlandaskan kefahaman dan sudut pandang sahih berteraskan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam kalangan generasi muda, menerusi dialog dan perbincangan dinamik serta membuka minda.
Menurut Pengasas dan Pengarah The Straight Path Convention, Farid Ullah Ahmed Hussain masyarakat Islam hari ini berdepan pelbagai cabaran, khususnya kelompok muda yang terdedah kepada banyak pengaruh negatif.
Farid Ullah berkata ramai keliru dengan peranan mereka dalam masyarakat, sementara yang lain bergelut dengan keyakinan dalam beragama dan jati diri Islam mereka yang menjurus kepada hilangnya minat untuk menyumbangkan khidmat secara bermakna kepada komuniti kerana mereka mencari motivasi dan tujuan hidup dari sumber luar.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk memperkuatkan generasi anak muda kita dengan prinsip dan nilai Islam, membantu mereka menemui semula tujuan hidup dan jati diri mereka dengan Islam, bertunjangkan ajaran Nabi Muhammad SAW. Ini adalah tema utama konvensyen tahun ini, Inshaa Allah,” katanya dalam satu kenyataan.
Meraikan pencapaian tahun ke-10 dalam senario dakwah tempatan, barisan penceramah bagi konvensyen itu semakin bertambah dengan menampilkan pendakwah terkenal seluruh dunia di mana setiap penceramah mempunyai bidang kepakaran masing-masing dan akan membincangkan beberapa topik dan strategi penting untuk menangani cabaran semasa dihadapi umat Islam.
Barisan penceramah TSP 2024 terdiri daripada Pengasas dan Pengarah Imam Development Program, Afrika Selatan, Sheikh Bilal Ismail; Pengasas An-Nadaa Educational Foundation, Nigeria, Dr Ibrahim Nuhu Tahir; pendakwah di University of Nottingham dan Pengarah Akademik di Roots Academy, United Kingdom, Ustaz Hisham Abu Yusuf; mufti dan hakim bertauliah, penulis, pendidik, pengkaji dan penasihat Syari’ah untuk National Waqf Fund, London, United Kingdom, Sheikh Dr Sajid Umar; Pengasas Nafsin Wahida, New York, USA, Dr Hassan Akbar dan Pengasas dan CEO Sapience Institute, United Kingdom, Hamza Andreas Tzortzis.
Konvensyen itu akan dikendalikan Hamza Andreas Tzortzis, Faisal Abdul Latif dan Sayid Amir.
Farid Ullah berkata pihaknya percaya menerusi platform itu yang menampilkan penceramah terkemuka dari pelbagai latar belakang dan budaya, ia akan memberi sumbangan besar dalam memupuk pemahaman dan penghargaan lebih mendalam terhadap nilai-nilai murni yang menyatukan komuniti Islam di Malaysia dan seluruh dunia.
Sepanjang acara dua hari itu, penceramah akan berkongsi ilmu dan pandangan mereka mengenai topik-topik penting, daripada strategi mendidik anak-anak hingga langkah menangani cabaran semasa, membangunkan pemimpin berkualiti kepada memelihara legasi dan identiti Islam.
“Kami ingin memperkenalkan semula contoh-contoh tauladan Muslim hebat yang memberi inspirasi, untuk menambah keyakinan dan keazaman di samping mewujudkan kembali identiti dan rasa kebersamaan dalam diri generasi muda.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan belia Muslim yang kuat dan proaktif, yang sedia berkhidmat ke arah pembangunan dan kesejahteraan masyarakat sejagat, berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Kami berharap konvensyen kali ini akan memberi impak yang bermakna kepada semua peserta,” kata Farid Ullah.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik seperti TSP Junior dan reruai menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti buku, pakaian, makanan dan alatan pendidikan.
Malah, sebuah bilik khusus untuk kaum ibu akan disediakan bagi mereka yang membawa anak.
Untuk maklumat lanjut mengenai TSP 2024 dan pembelian tiket, anda boleh melayari laman web https://event.thestraightpath.com.my . — The Merdeka Times