Connect with us

Terkini

Skandal NAFAS: Baja dibekal kepada petani kualiti rendah, tidak ikut spesifikasi ditetap kerajaan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Mohd Hisyamuddin Ghazali.
  • Bekas Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendedahkan baja dibeli pertubuhan itu untuk dibekalkan kepada petani tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan kerajaan, malah mempunyai kualiti rendah.
  • Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata ketika beliau menjadi AJP NAFAS, urusniaga baja tidak telus menyebabkan kerajaan rugi kerana terpaksa ‘memperkayakan’ baja tersebut untuk memastikan kualiti yang sepatutnya diterima petani.
  • ”Dia beli dari Vietnam dan kalau kita periksa, syarikat (pembekal) yang sama berlaku (pada) kartel sekarang ini (yang sedang disiasat SPRM).
  • ”Ia berlaku pada 2017, sekarang berlaku pada 2022. Syarikat yang sama, modus operandi sama, manusia sama,” katanya dipetik Suara Keadilan pada Rabu.
  • Beliau turut mendedahkan tentang pembelian bangunan kilang di Muar, Johor sebagai kilang untuk membuat dedak ayam di mana pembelian bangunan itu didakwa sepatutnya pada paras harga rendah, namun harganya menjadi tinggi hingga mencapai berbelas juta ringgit.
  • Mohd Hisyamuddin dilaporkan mendedahkan perkara itu dalam rancangan temu bual “Berani Semuka: RM1.8 bilion pendedahan eksklusif. Siapa kartel? Kenapa NAFAS rugi?” bersama aktivis media, Iswardy Morni.

KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendedahkan baja dibeli pertubuhan itu untuk dibekalkan kepada petani tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan kerajaan, malah mempunyai kualiti rendah.

Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata ketika beliau menjadi AJP NAFAS, urusniaga baja tidak telus menyebabkan kerajaan rugi kerana terpaksa ‘memperkayakan’ baja tersebut untuk memastikan kualiti yang sepatutnya diterima petani.

”Apabila membeli baja yang tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan iaitu kualiti lebih rendah, maka kerajaan kena tambah lagi modal untuk ‘enrich’.

”Dia beli dari Vietnam dan kalau kita periksa, syarikat (pembekal) yang sama berlaku (pada) kartel sekarang ini (yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

”Ia berlaku pada 2017, sekarang berlaku pada 2022. Syarikat yang sama, modus operandi sama, manusia sama.

”Kalau tanya saya siapa kartel.. saya boleh sebut malam ini tapi simpan dulu sebab perkara ini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Jadi kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya dipetik Suara Keadilan pada Rabu.

Mohd Hisyamuddin dilaporkan mendedahkan perkara itu dalam rancangan temu bual “Berani Semuka: RM1.8 bilion pendedahan eksklusif. Siapa kartel? Kenapa NAFAS rugi?” bersama aktivis media, Iswardy Morni.

Dalam rancangan itu, beliau turut mendedahkan tentang pembelian bangunan kilang di Muar, Johor sebagai kilang untuk membuat dedak ayam di mana pembelian bangunan itu didakwa sepatutnya pada paras harga rendah, namun harganya menjadi tinggi hingga mencapai berbelas juta ringgit.

”Saya boleh cakap sebab kita buat audit forensik.. bila buat audit forensik, semua resit kita ada.. kita boleh kesan.

”Sepatutnya harga rendah sahaja.. tak sampai RM10 juta.. dia naikkan harga jadi belas-belas juta,” katanya.

Mohd Hisyamuddin turut menyentuh berkaitan isu penyewaan Wisma Peladang di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

”Dia bagi sewa selama 20 tahun kepada satu syarikat dengan sewa yang rendah.. kawasan paling premium di Malaysia tapi sewa rendah.

”Kenapa dia boleh dapat harga rendah? Siapa yang ambil untung di sebalik tadbir? Semua itu kita temui dalam audit forensik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengatakan tidak terkejut apabila SPRM menyiasat kes berkenaan (kartel NAFAS) kerana apabila audit penuh NAFAS dilakukan, pasti terdapat banyak penyelewengan berlaku.

Katanya, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini, beliau yang turut dilantik sebagai penasihat sektor pertanian negara telah cuba ‘membaiki’ penyelewengan terjadi.

”Masa kita jadi kerajaan, kita dah usaha sebaik mungkin untuk baiki NAFAS. Sebelum saya masuk, NAFAS rugi RM20 juta lebih.

“Februari kami keluar dan kami cek akaun (laporan kewangan tahunan). Kita berjaya capai tunai dalam tangan RM800 juta lebih (dalam tempoh setahun) dan masa itu arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“(Bagaimanapun) sebelum Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri, NAFAS mempunyai negatif RM400 juta lebih dalam akaun tunai disebabkan kelewatan pembayaran daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan pengurusan di peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya.

Pada 1 November lalu, media melaporkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amin Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) mengeluarkan arahan supaya NAFAS digantung berkuat kuasa hari sama.

Katanya, dalam tempoh penggantungan itu, jemaah pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.

“Semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diuruskan dan ditadbir oleh Pentadbir yang akan dilantik untuk menguruskan hal ehwal NAFAS,” kata Amin dipetik media tempatan.  — The Merdeka Times

 

Author