Terkini
Mana hala tuju pendidikan kebangsaan negara? – Pensyarah Kanan
- Pensyarah kanan UKM, Dr Anuar Ahmad menyenaraikan lebih lima persoalan berkaitan sistem pendidikan kebangsaan.
- Dalam hantaran itu, Anuar turut berkongsi beberapa laporan media menyatakan bahawa murid bumiputera di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) meningkat hampir sekali ganda dalam 10 tahun selain isu kemasukan murid bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat 49.4 peratus dalam tempoh hampir enam tahun sejak 2019.
- “Kita seharusnya mula bertanya, ke mana sebenarnya hala tuju ‘pendidikan kebangsaan’ negara ini?“ Atau sebenarnya, kita sudah pun mengaku kalah dan bersedia menerima ‘pluralisme pendidikan’. Tidak perlu lagi kepada sistem pendidikan ‘kebangsaan’?
- “Supaya di masa hadapan, anak-anak kita boleh lupakan terus segala cita-cita untuk memiliki satu sistem pendidikan ‘kebangsaan’?,” kata Anuar dalam hantaran di Facebooknya semalam.
KUALA LUMPUR — “Adakah pembinaan sistem pendidikan kebangsaan negara kita di landasan yang tepat? Jika tidak tepat, siapakah yang sepatutnya memperbetulkan semula hala tuju sistem pendidikan ‘kebangsaan’?”.
Ini antara persoalan diajukan pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengenai sistem pendidikan negara dalam hantaran Facebooknya semalam.
Pensyarah kanan UKM itu menyenaraikan lebih lima persoalan berkaitan sistem pendidikan kebangsaan.
Dalam hantaran itu, Anuar turut berkongsi beberapa laporan media menyatakan bahawa murid bumiputera di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) meningkat hampir sekali ganda dalam 10 tahun selain isu kemasukan murid bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat 49.4 peratus dalam tempoh hampir enam tahun sejak 2019.
Berdasarkan laporan berita itu, Anuar mempersoalkan hala tuju pendidikan kebangsaan negara ini.
“Kita seharusnya mula bertanya, ke mana sebenarnya hala tuju ‘pendidikan kebangsaan’ negara ini?
“Atau sebenarnya, kita sudah pun mengaku kalah dan bersedia menerima ‘pluralisme pendidikan’. Tidak perlu lagi kepada sistem pendidikan ‘kebangsaan’?
“Supaya di masa hadapan, anak-anak kita boleh lupakan terus segala cita-cita untuk memiliki satu sistem pendidikan ‘kebangsaan’?,” kata Anuar.
Beliau sebelum ini pernah menyatakan bahawa negara sedang berhadapan dengan krisis sistem pendidikan.
Tegasnya, Malaysia perlu mencari jalan untuk memulihkan semula imej sistem pendidikan negara bermula dari sekarang agar ia tidak berdepan cabaran yang berat di masa depan.
Manakala Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Mohd Azizee Hasan pula berkata SK perlu diperkasa.
“Antara isu kelemahan SK yang sering menjadi polemik adalah penguasaan dalam Matematik, Sains, dan bahasa Inggeris dengan tanggapan bahawa guru-guru SJKC lebih mahir dalam mengajar subjek-subjek itu,” jelas beliau. – The Merdeka Times