Antarabangsa
Israel lakukan genosid, guna ‘kebuluran sebagai senjata perang’ – Laporan
- Laporan baharu dikeluarkan Jawatankuasa Khas PBB yang menyiasat amalan Israel di Gaza pada Khamis mendapati tindakan ketenteraan Israel konsisten dengan ciri-ciri pembunuhan beramai-ramai (genosid).
- Jawatankuasa itu mendakwa rejim Israel sengaja mengenakan keadaan yang mengancam nyawa ke atas rakyat Palestin, termasuk menggunakan kebuluran sebagai kaedah (senjata) peperangan.
- “Sejak permulaan perang, pegawai Israel secara terbuka menyokong dasar yang melucutkan rakyat Palestin daripada keperluan diperlukan untuk mengekalkan kehidupan – makanan, air, dan bahan api,” kata jawatankuasa itu dipetik agensi berita Anadolu.
- Penemuan terkini jawatankuasa itu akan dibentangkan Isnin depan kepada Perhimpunan Agung PBB.
Laporan baharu dikeluarkan Jawatankuasa Khas PBB yang menyiasat amalan Israel di Gaza pada Khamis mendapati tindakan ketenteraan Israel konsisten dengan ciri-ciri pembunuhan beramai-ramai (genosid).
Jawatankuasa itu mendakwa rejim Israel sengaja mengenakan keadaan yang mengancam nyawa ke atas rakyat Palestin, termasuk menggunakan kebuluran sebagai kaedah (senjata) peperangan.
“Sejak permulaan perang, pegawai Israel secara terbuka menyokong dasar yang melucutkan rakyat Palestin daripada keperluan diperlukan untuk mengekalkan kehidupan – makanan, air, dan bahan api,” kata jawatankuasa itu dipetik agensi berita Anadolu.
Ia berkata Israel juga secara sistematik mengganggu bantuan kemanusiaan untuk keperluan penting yang digunakan bagi tujuan politik dan ketenteraan.
Meliputi tempoh dari Oktober 2023 (ketika serangan Gaza bermula) hingga Julai 2024, laporan itu menyerlahkan kesan buruk pengepungan dan pengeboman berterusan Israel.
Laporan jawatankuasa PBB itu juga menggariskan bagaimana kemusnahan infrastruktur Gaza, termasuk air, sanitasi, dan sistem makanan, telah membawa kepada bencana kemanusiaan.
“Dengan memusnahkan sistem air, sanitasi dan makanan penting dan mencemarkan alam sekitar, Israel telah mencipta campuran krisis maut yang akan mendatangkan kemudaratan teruk kepada generasi akan datang,” kata jawatankuasa itu.
Laporan jawatankuasa PBB itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan sistem penyasaran yang dipertingkatkan kecerdasan buatan (AI) oleh Israel dalam operasi ketenteraan, yang didakwa membawa kepada korban awam yang tidak seimbang, terutamanya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
“Penggunaan penyasaran bantuan AI oleh tentera Israel, dengan pengawasan manusia yang minimum, digabungkan dengan bom berat (heavy bombs), menunjukkan pengabaian Israel terhadap kewajipannya untuk membezakan antara orang awam dan pejuang,” kata jawatankuasa itu.
Kritikan lanjut turut ditujukan kepada penapisan media Israel dan penindasan perbezaan pendapat di samping serangan rejim terhadap organisasi PBB dan pekerja kemanusiaan.
Penemuan terkini jawatankuasa itu akan dibentangkan Isnin depan kepada Perhimpunan Agung PBB. – The Merdeka Times