Terkini
Enam pelajar SM Imtiaz Kuala Berang rangkul dua emas pertandingan inovasi di China
- Enam pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang mengharumkan nama negara apabila meraih dua pingat emas dalam International Innovative Technology Summit (ITTS) 2024 di Beijing, China baru-baru ini.
- Kejayaan itu menerusi ciptaan aplikasi dan produk bantu belajar oleh kumpulan masing-masing iaitu VIGEEL (Virtual Geo Learning) oleh tiga pelajar tingkatan dua, tiga dan empat manakala The Repeater oleh tiga pelajar tingkatan empat pada pertandingan yang berlangsung dari 7 hingga 11 Nov.
- Guru Geografi merangkap pembimbing yang mengiringi pelajar berkenaan, Nurul Fatiha Mohd Ramli berkata mereka layak mewakili Malaysia apabila melepasi saringan di Universiti Malaya pada Februari dan memenangi pingat emas pada peringkat kedua di Bangkok, Thailand pada April.
- Kedua-dua produk rintis itu ciptaan sepenuhnya pelajar berkenaan dengan dibantu guru pembimbing selain mendapat sokongan dan bantuan kepakaran antaranya dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta perkongsian produk dengan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang dan Sekolah Menengah Agama Marang untuk mendapatkan maklum balas.
KUALA TERENGGANU — Enam pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang mengharumkan nama negara apabila meraih dua pingat emas dalam International Innovative Technology Summit (ITTS) 2024 di Beijing, China baru-baru ini.
Kejayaan itu menerusi ciptaan aplikasi dan produk bantu belajar oleh kumpulan masing-masing iaitu VIGEEL (Virtual Geo Learning) oleh tiga pelajar tingkatan dua, tiga dan empat manakala The Repeater oleh tiga pelajar tingkatan empat pada pertandingan yang berlangsung dari 7 hingga 11 Nov.
Guru Geografi merangkap pembimbing yang mengiringi pelajar berkenaan, Nurul Fatiha Mohd Ramli berkata mereka layak mewakili Malaysia apabila melepasi saringan di Universiti Malaya pada Februari dan memenangi pingat emas pada peringkat kedua di Bangkok, Thailand pada April.
Beliau berkata kedua-dua produk rintis itu ciptaan sepenuhnya pelajar berkenaan dengan dibantu guru pembimbing selain mendapat sokongan dan bantuan kepakaran antaranya dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta perkongsian produk dengan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang dan Sekolah Menengah Agama Marang untuk mendapatkan maklum balas.
Memperincikan produk berkenaan ketika dihubungi Bernama pada Khamis, VIGEEL katanya adalah alat bantu belajar yang menggunakan teknologi realiti maya (VR) selepas dikembangkan daripada realiti terimbuh (AR) pada siri pertandingan di Bangkok dengan mengetengahkan topik pengangkutan dalam subjek Geografi tingkatan dua.
“Produk ini dapat bantu tarik minat pelajar kerana apabila pelajar memakai set kepala VR berkenaan, mereka dapat melihat dan merasai situasi sistem pengangkutan selain ada pop up notes untuk pembelajaran.
“la juga sebenarnya dicipta untuk beri peluang dan pengalaman kepada mereka merasai sistem pengangkutan secara maya kerana sekolah kami ialah sekolah luar bandar dan tidak dinafikan ada antara pelajar yang tidak pernah menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) atau kapal terbang misalnya, jadi ia beri pengalaman walaupun secara maya kepada mereka,” katanya.
The Repeater pula aplikasi yang dibangunkan untuk menyimpan data hafazan al-Quran pelajar selain berfungsi sebagai peringatan untuk mereka membuat bacaan sebelum melakukan hafalan ayat-ayat kitab suci itu.
Nurul Fatiha berkata The Repeater tercetus hasil halaqah (kumpulan pengajian) al-Quran pelajar di sekolahnya dengan mengambil kira antaranya permasalahan pelajar yang adakalanya terlepas pandang rekod hafalan mereka.
“Dengan feature sebagai reminder atau planner, ia akan ingatkan pelajar untuk misalnya membuat hafazan ayat-ayat tertentu pada hari tersebut. Kalau pelajar tidak mematuhi dengan peringatan itu, ia akan dikumpulkan dari hari ke hari, seterusnya akan menjadi banyak untuk mereka selesaikan hafazan. la sekali gus mengekalkan disiplin mereka dalam menghafal al-Quran,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran dihadapi bermula dari peringkat sebelum sehingga semasa pertandingan, beliau berkata isu kewangan menjadi masalah terbesar sehingga memaksa pelajarnya menjadi kreatif untuk memperuntukan dana yang ada dengan sebaik mungkin hasil sumbangan pelbagai pihak.
Beliau berkata The Repeater misalnya dihasilkan dengan menggunakan perisian pengekodan yang diperoleh secara percuma di Internet, manakala VIGEEL berhasil merangkul emas menerusi set kepala VR yang diperoleh menerusi pembelian set terpakai pada harga kurang RM1,000.
“Selain itu, kekangan masa pelajar dan guru juga menjadi antara cabaran utama… setiap hari pelajar kena hadap ciptaan mereka dan guru kena teman untuk proses testing dan penambahbaikan.
“‘Namun, cabaran ketika di China juga sangat getir terutamanya apabila negara itu memang sudah maju dengan teknologi seperti VR dan perisian dalam pendidikan mereka. Tapi, semangat pelajar nyata membuahkan hasil menerusi kemenangan ini,” katanya sambil menambah pertandingan itu membantu pelajar mengumpul merit 10 peratus Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum untuk ke universiti kelak.
Nurul Fatiha berkata seiring dengan hasrat memperluas lagi topik-topik pembelajaran dalam penggunaan ciptaan itu, mereka sememangnya berharap mendapatkan sokongan kewangan lebih besar daripada pelbagai pihak terutamanya dalam misi menyertai pertandingan serupa di Kemboja pada April tahun hadapan.
Produk berkenaan juga dirancang untuk dikomersialkan apabila turut dilengkapi dengan tetapan penggunaan dalam bahasa Inggeris.
Selain Nurul Fatiha, tiga lagi guru pembimbing yang terlibat ialah Mohd Safwan Abdullah, Muhammad Aminuddin Muhammad Tajuddin dan Noorul Aisyah Mat Jusoh dan guru penasihat Mohd Zulkifli Muda. — BERNAMA