Terkini
(VIDEO) Bajet pendidikan makin naik, prestasi makin turun
KUALA LUMPUR — “Kenapa bajet (pendidikan) setiap tahun meningkat tetapi prestasi dan KPI-nya menurun?”.
Itu persoalan dibangkitkan Ketua Penerangan Pemuda MCA Nasional, Neow Choo Seong selepas beliau melihat bajet diperuntukkan kerajaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) meningkat setiap tahun, tetapi ia tidak seiring dengan mutu pendidikan negara yang menurun mengikut indeks antarabangsa.
Choo Seong berkata persoalan itu wajar diambil perhatian pihak kerajaan, apatah lagi ketika wujudnya sentimen dan prasangka kelompok ibu bapa pelbagai kaum yang merasakan prestasi sistem pendidikan kebangsaan semakin menurun dan merosot.
“Realiti di kalangan masyarakat adalah tidak dinafikan, wujudnya sentimen dan juga prasangka (daripada) golongan ibu bapa, baik orang Cina, India, mahupun orang Melayu dan juga tak lupa di Sabah dan Sarawak, yang mula berasakan bahawa sistem pendidikan kebangsaan kita ini semakin menurun dan semakin… orang kata, mencorot.
“Jadi bagi saya, setiap ibu bapa mempunyai keinginan… mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan pendidikan ini adalah asas yang paling penting dan paling fundamental untuk setiap keluarga.
“Saya sebagai seorang bapa young parent, saya pun mahukan anak saya dapat pendidikan yang terbaik. Maka, kita perlu tanya sama ada sistem pendidikan kebangsaan kita ini masih competent atau tidak?
“Adakah lebih baik atau tidak? Sekiranya lebih baik, maka saya yakin, parents akan kekal dan malah lebih ramai lagi orang mahu menyertai sistem yang sedia ada,” katanya menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Prestasi 2 tahun Kerajaan Madani, corot @ cemerlang?’ yang bersiaran di platform media sosial The Merdeka Times di sini malam ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan hos, antaranya meminta beliau menjelaskan sama ada keraguan tentang mutu pendidikan di Sekolah Kebangsaan berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), khususnya dalam bidang Matematik dan Sains, merupakan faktor utama ibu bapa Cina tidak memilih Sekolah Kebangsaan buat anak-anak mereka.
Program terbitan Studio Merdeka itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Mengulas lanjut, Choo Seong berkata statistik hari ini sebaliknya menunjukkan bukan sahaja semakin ramai keluarga atau ibu bapa daripada kelompok bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina ataupun sekolah vernakular, malah semakin ramai juga anak-anak dihantar ke sekolah swasta, antarabangsa dan aliran agama.
“Kita juga nampak trend di mana semakin ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah swasta, sekolah antarabangsa.
“Kenapa wujudnya perkara ini? Yang kita tidak lihat dan kita zoom in kerana politik, kita zoom in ke sistem vernakular sahaja.
“Dan jangan lupa juga ada sistem sekolah agama yang semakin ramai ibu bapa juga rasa lebih cenderung nak hantar mereka ke sekolah agama. Maknanya, something is wrong with our national system,” kata Choo Seong. — The Merdeka Times