Connect with us

Terkini

Turunkan harga rumah lebih baik berbanding panjangkan tempoh pinjaman

Cadangan memanjangkan tempoh hutang atau pemberian pinjaman perumahan berjangka masa panjang berkemungkinan hanya memberikan penyelesaian jangka pendek, tetapi bukan menyelesaikan punca masalah sebenar.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam UIAM, Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin.
  • Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam UIAM, Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata dari sudut perspektif Islam, pemanjangan tempoh hutang atau pembiayaan rumah perlu dianalisis dalam konteks keadilan dan kesejahteraan masyarakat.
  • Irwan menjelaskan pembiayaan rumah jangka panjang mungkin dapat membantu kelompok berpendapatan rendah memiliki rumah, namun ia perlu dipastikan supaya tidak membebankan peminjam dengan hutang yang tidak terkawal.
  • Ini kerana tempoh yang lebih panjang boleh menyebabkan beban kewangan berlarutan dan ia berlawanan dengan prinsip mengelakkan kemudaratan.
  • “Sebaliknya, menurunkan harga rumah mungkin lebih selari dengan prinsip keadilan sekiranya harga rumah yang ditetapkan di pasaran tidak mencerminkan situasi sebenar, terutama apabila tiada keseimbangan antara penawaran rumah mampu milik (kos rendah/sederhana) dan penawaran rumah mewah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tentang sudut pandang Islam sama ada ia cara yang betul untuk memanjangkan tempoh hutang bagi membeli rumah.
  • Ini susulan pada 10 Oktober lalu, BERNAMA melaporkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan akan membincangkan cadangan dasar perumahan negara, termasuk meneliti pemberian pinjaman perumahan berjangka masa panjang.

KUALA LUMPUR — Cadangan memanjangkan tempoh hutang atau pemberian pinjaman perumahan berjangka masa panjang berkemungkinan hanya memberikan penyelesaian jangka pendek, tetapi bukan menyelesaikan punca masalah sebenar.

Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata dari sudut perspektif Islam, pemanjangan tempoh hutang atau pembiayaan rumah perlu dianalisis dalam konteks keadilan dan kesejahteraan masyarakat.

Irwan menjelaskan pembiayaan rumah jangka panjang mungkin dapat membantu kelompok berpendapatan rendah memiliki rumah, namun ia perlu dipastikan supaya tidak membebankan peminjam dengan hutang yang tidak terkawal.

Katanya, ini kerana tempoh yang lebih panjang boleh menyebabkan beban kewangan berlarutan dan ia berlawanan dengan prinsip mengelakkan kemudaratan.

“Sebaliknya, menurunkan harga rumah mungkin lebih selari dengan prinsip keadilan sekiranya harga rumah yang ditetapkan di pasaran tidak mencerminkan situasi sebenar, terutama apabila tiada keseimbangan antara penawaran rumah mampu milik (kos rendah/sederhana) dan penawaran rumah mewah.

“Jika penawaran rumah kos rendah/sederhana/mewah dikawal agar lebih seimbang atau harga rumah diturunkan agar lebih mampu milik, beban hutang yang diambil oleh pembeli juga akan berkurang.

“Dalam hal ini, intervensi kerajaan melalui kawalan penawaran rumah kos rendah/sederhana/mewah dan kawalan harga rumah mungkin dianggap lebih “Islamic” kerana ia bertujuan untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa perlu terjerumus ke dalam beban hutang jangka panjang,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tentang sudut pandang Islam sama ada ia cara yang betul untuk memanjangkan tempoh hutang bagi membeli rumah.

Ini susulan pada 10 Oktober lalu, BERNAMA melaporkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membincangkan cadangan dasar perumahan negara, termasuk meneliti pemberian pinjaman perumahan berjangka masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ia bertujuan memastikan individu dan isi rumah yang kurang berkemampuan dapat memiliki rumah tanpa terbeban dengan kenaikan harga rumah yang semakin meningkat, terutamanya melalui pembiayaan pinjaman perumahan jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Irwan berkata masalah asas (root cause) dalam isu perumahan di Malaysia ialah ketidakseimbangan antara penawaran rumah kos rendah/sederhana, penawaran rumah kos mewah dan peningkatan harga rumah yang lebih cepat berbanding kadar kenaikan pendapatan isi rumah.

Beliau berkata kenaikan kos tanah, bahan binaan dan peningkatan permintaan tanpa kawalan penawaran yang seimbang menyebabkan rumah menjadi tidak mampu milik bagi ramai rakyat Malaysia.

“Memanjangkan tempoh pembiayaan mungkin dapat memberi penyelesaian jangka pendek, tetapi ia bukan penyelesaian kepada punca masalah sebenar.

“Malah, ia boleh memperburuk keadaan dengan meningkatkan beban hutang isi rumah yang sudah tinggi.

“Pemanjangan tempoh tidak menangani isu fundamental seperti ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan, spekulasi dalam pasaran hartanah, dan keperluan untuk meningkatkan kualiti perumahan kos rendah dan sederhana.

“Kerajaan perlu melihat kepada strategi peningkatan pendapatan isi rumah untuk penyelesaian jangka panjang yang lebih efektif,” kata Irwan. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *