Connect with us

Terkini

GISBH: Keutamaan KPWKM kembalikan anak-anak kepada keluarga

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata mengembalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global kepada ibu bapa dan keluarga mereka adalah keutamaan kementerian berkenaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.
  • Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata untuk itu pihaknya terlebih dahulu perlu memastikan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit berfungsi dengan baik dan boleh memberikan penjagaan baik dan membina kepada kelompok itu. 
  • Sekiranya terdapat kes-kes yang jelas membuktikan keupayaan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit, maka proses penyatuan semula boleh disegerakan. 
  • Bagi kes rumit, program-program intervensi akan dilaksanakan untuk kanak-kanak dan keluarga bagi memastikan kepentingan mereka terjaga.
  • “Dalam hal ini, KPWKM telah merangka hala tuju komprehensif berdasarkan prinsip kerja sosial terhadap kanak-kanak ini dengan perancangan tertentu berdasarkan peruntukan perundangan meliputi beberapa kategori kanak-kanak,” kata Nancy menerusi teks ucapan sesi Penerangan Menteri berkenaan isu kebajikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), hari ini.

KUALA LUMPUR — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata mengembalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global kepada ibu bapa dan keluarga mereka adalah keutamaan kementerian berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata untuk itu pihaknya terlebih dahulu perlu memastikan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit berfungsi dengan baik dan boleh memberikan penjagaan baik dan membina kepada kelompok itu. 

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, sekiranya terdapat kes-kes yang jelas membuktikan keupayaan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit, maka proses penyatuan semula boleh disegerakan. 

Manakala, bagi kes rumit, program-program intervensi akan dilaksanakan untuk kanak-kanak dan keluarga bagi memastikan kepentingan mereka terjaga.

“Dalam hal ini, KPWKM telah merangka hala tuju komprehensif berdasarkan prinsip kerja sosial terhadap kanak-kanak ini dengan perancangan tertentu berdasarkan peruntukan perundangan meliputi beberapa kategori kanak-kanak. 

“Antaranya ialah bagi kanak-kanak mempunyai ibu bapa, penjaga atau waris jika hasil siasatan PDRM dan pelindung terhadap kanak-kanak mendapati mereka tidak diabai atau didera dan tidak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka tindakan mengembalikan kanak-kanak kepada ibu bapa atau penjaga akan diambil menurut perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah subseksyen 30(12) Akta Kanak-Kanak yang dibuat setelah mempertimbangkan Laporan Pelindung.

“Namun sekiranya hasil siasatan mendapati kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan seperti dalam perenggan 17(1)(a) sehingga (k); kecuali perenggan 17(1)(e), maka permohonan akan dibuat untuk meletakkan kanak-kanak di bawah pemeliharaan dan penjagaan JKM di bawah perenggan 30(1)(d) atau OYLS di bawah perenggan 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak,” kata Nancy menerusi teks ucapan sesi Penerangan Menteri berkenaan isu kebajikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), hari ini.

Nancy berkata jika hasil siasatan mendapati kanak-kanak tidak mempunyai ibu, bapa atau penjaga atau mereka gagal dikesan, maka tindakan meletakkan kanak-kanak itu secara sementara di suatu tempat selamat atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) selama tempoh dinyatakan mahkamah mengikut perenggan 30(1)(c) akan dilaksanakan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh mengenakan sebarang syarat atau arahan yang difikirkan sesuai bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, termasuk ibu bapa atau penjaga mengikut peruntukan subseksyen 30(8).

Menteri itu berkata bagi memastikan penjagaan dan kebajikan kanak-kanak terbabit terjaga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil beberapa langkah diperlukan untuk urusan tersebut.

Antaranya ialah melantik pegawai kontrak caregiver untuk menampung keperluan perjawatan penjaga tambahan dan menjalankan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang melaksanakan satu modul pembelajaran khas untuk kanak-kanak yang mendapat perlindungan di Tempat-Tempat Selamat bermula 1 Oktober lalu.

KPWKM juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) bagi pembelajaran modul kerohanian. 

“Sehingga 14 Oktober 2024, seramai 560 orang kanak-kanak, iaitu 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan kini sedang ditempatkan di Tempat-Tempat Selamat setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh Mahkamah bagi tempoh 2 bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Nancy. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *