Terkini
Dakwa isteri Nabi Muhammad dari Kedah, Zambry ingatkan kebebasan akademik bukan lesen untuk ‘kemalasan intelektual’
- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa kelompok intelektual, termasuk pensyarah, menyuarakan pandangan berdasarkan fakta kukuh dan bukan sekadar mencari populariti.
- “Benar semua orang boleh berbicara apa sahaja tetapi ia mesti berdasarkan jangan terbabas dari tradisi kajiannya, faktanya, kena ada itu jadi kita tidak mahu dengar antaranya ada populis intelektual… Dia nak berbicara sebab dia tengok boleh jadi popular dengan satu-satu tajuk, termasuk menggunakan teori bahawa Siti Khadijah dari Kedah, sebagai contoh.
- “Ini menimbulkan kekeliruan dan ini yang disebutkan Profesor Syed Hussein Alatas sebagai ‘intellectual laziness’ yang terangkum di dalamnya yang dipanggil sebagai ‘the captive mind‘, minda tertawan jadi mereka kena tahu itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
- Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai garis pemisah antara kebebasan yang diberikan kepada golongan intelektual dalam menyampaikan pandangan dan ruang manipulasi yang mungkin diambil pihak tidak bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa kelompok intelektual, termasuk pensyarah, menyuarakan pandangan berdasarkan fakta kukuh dan bukan sekadar mencari populariti.
Zambry berkata walaupun dunia akademik membenarkan kebebasan dalam menyuarakan pandangan, namun ia tidak boleh terbabas daripada tradisi kajian sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.
“Benar semua orang boleh berbicara apa sahaja tetapi ia mesti berdasarkan jangan terbabas dari tradisi kajiannya, faktanya, kena ada itu jadi kita tidak mahu dengar antaranya ada populis intelektual… Dia nak berbicara sebab dia tengok boleh jadi popular dengan satu-satu tajuk, termasuk menggunakan teori bahawa Siti Khadijah dari Kedah, sebagai contoh.
“Ini menimbulkan kekeliruan dan ini yang disebutkan Profesor Syed Hussein Alatas sebagai ‘intellectual laziness‘ yang terangkum di dalamnya yang dipanggil sebagai ‘the captive mind‘, minda tertawan jadi mereka kena tahu itu.
“Jadi dia menjadi satu orang kata disiplin diri sebagai seorang intelektual, pensyarah anda boleh bercakap apa-apa saja tetapi mesti tertakluk kepada displin diri dan ia berasaskan kepada asas yang baik , data yang baik jangan sampai akhirnya orang anggap bahawa intelektual itu sama sahaja dengan yang berada di bawah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai garis pemisah antara kebebasan yang diberikan kepada golongan intelektual dalam menyampaikan pandangan dan ruang manipulasi yang mungkin diambil pihak tidak bertanggungjawab.
Zambry tidak menyebut nama mana-mana pihak secara khusus, tetapi majoriti media dilihat mengaitkan kenyataan itu dengan kenyataan kontroversi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Solehah Yaacob yang dilaporkan mendakwa isteri Nabi berasal dari “Kepulauan Melayu” dalam video yang menjadi tular.
Pada September lalu, Solehah dilaporkan menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian dan berkata video itu telah disunting. — The Merdeka Times