Antarabangsa
Penunjuk perasaan protes tentera ‘perogol’ Israel dari ditahan terima dana AS, Kanada
Kumpulan zionis yang membantah penahanan tentera Israel dituduh merogol rakyat Palestin di pusat tahanan Sde Teiman didapati menerima pembiayaan daripada organisasi di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, demikian menurut laporan media Amerika.
- Kumpulan zionis yang membantah penahanan tentera Israel dituduh merogol rakyat Palestin di pusat tahanan Sde Teiman didapati menerima pembiayaan daripada organisasi di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, demikian menurut laporan media Amerika.
- MintPress News, sebuah saluran media bebas berpangkalan di AS, minggu lalu melaporkan rakaman memaparkan kumpulan sayap kanan yang membantah penahanan itu memakai baju-T dari kumpulan zionis Im Tirtzu dan Torat Lechima.
- Media Israel turut melaporkan bahawa gerakan sayap kanan Lehava menyertai bantahan itu dan organisasi bantuan undang-undang zionis Honenu menyediakan pembelaan undang-undang untuk tentera yang dituduh. Kesemua empat kumpulan itu menerima sokongan daripada “organisasi luar Israel.”
- Pada 29 Julai lalu, televisyen Israel KAN melaporkan sembilan tentera merogol dan memukul seorang tahanan Palestin di Pangkalan Tentera Sde Teiman, menyebabkan mangsa cedera parah dan dimasukkan ke hospital.
- Berikutan laporan itu, polis tentera melancarkan siasatan dan tentera yang terlibat ditahan.
- Sebagai tindak balas, sekumpulan warga Israel sayap kanan bersenjata dan bertopeng, termasuk tentera, menyerbu pangkalan tentera itu untuk membantah penahanan tentera yang dituduh merogol.
Kumpulan zionis yang membantah penahanan tentera Israel dituduh merogol rakyat Palestin di pusat tahanan Sde Teiman didapati menerima pembiayaan daripada organisasi di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, demikian menurut laporan media Amerika.
MintPress News, sebuah saluran media bebas berpangkalan di AS, minggu lalu melaporkan rakaman memaparkan kumpulan sayap kanan yang membantah penahanan itu memakai baju-T dari kumpulan zionis Im Tirtzu dan Torat Lechima.
Media Israel turut melaporkan bahawa gerakan sayap kanan Lehava menyertai bantahan itu dan organisasi bantuan undang-undang zionis Honenu menyediakan pembelaan undang-undang untuk tentera yang dituduh. Kesemua empat kumpulan itu menerima sokongan daripada “organisasi luar Israel”.
Im Tirtzu dan Honenu menerima sumbangan daripada Central Fund of Israel yang berpangkalan di New York, lapor agensi berita Anadolu.
Kedua-dua kumpulan itu bersama Torat Lechima juga menerima sokongan kewangan dari AS, United Kingdom (UK) dan Kanada melalui platform kutipan dana Israel, JGive.
Im Tirtzu yang turut mempunyai hubungan kewangan dengan kumpulan zionis “Mizrachi Canada” menyenaraikan “Kingjay Foundation Trust” dan The Snider Foundation antara penderma utamanya.
Gerakan Lehava yang dikenakan sekatan oleh AS, Kesatuan Eropah (EU) dan UK atas keganasan terhadap rakyat Palestin dilaporkan disokong organisasi yang berpangkalan di AS, Tomchei Tzedaka, yang mengumpul derma untuk kumpulan Israel.
Pangkalan Tentera Sde Teiman yang terletak di Gurun Negev di selatan Israel dan digelar “Guantanamo Israel”, dikenal pasti sebagai tempat di mana rakyat Palestin yang ditahan dari Gaza dikenakan layanan tidak berperikemanusiaan, termasuk rogol dan penyeksaan.
Pada 29 Julai lalu, televisyen Israel KAN melaporkan sembilan tentera merogol dan memukul seorang tahanan Palestin di Pangkalan Tentera Sde Teiman, menyebabkan mangsa cedera parah dan dimasukkan ke hospital.
Berikutan laporan itu, polis tentera melancarkan siasatan dan tentera yang terlibat ditahan.
Sebagai tindak balas, sekumpulan warga Israel sayap kanan bersenjata dan bertopeng, termasuk tentera, menyerbu pangkalan tentera itu untuk membantah penahanan tentera yang dituduh merogol. – The Merdeka Times