Antarabangsa
(VIDEO) Polis pukul nenek dan cucu di balai Kereta Api Madhya Pradesh
Sebuah video tular menunjukkan remaja Dalit berusia 15 tahun bersama neneknya dipukul pegawai polis di balai polis Kereta Api di Madhya Pradesh, India, baru-baru ini.
Sebuah video tular menunjukkan remaja Dalit berusia 15 tahun bersama neneknya dipukul pegawai polis di balai polis Kereta Api di Madhya Pradesh, India, baru-baru ini.
Rakaman itu mencetuskan kemarahan ramai, menyebabkan seorang pegawai digantung tugas dan satu siasatan dijalankan di tengah-tengah kontroversi itu, lapor India Today.
Video yang dilaporkan sebagai rakaman pada Oktober 2023 itu menunjukkan seorang pegawai polis, Aruna Vagane yang mengetuai Balai Polis Kereta Api (GRP) Bandar Katni di Jabalpur, memukul seorang nenek, Kusum Vanskar dan cucunya, Deepraj.
Kusum dilihat dalam video itu dipukul dengan kayu, ditarik rambut dan ditendang di hadapan cucunya.
Rakaman CCTV itu juga menunjukkan sekumpulan pegawai polis memukul dan menendang cucunya dengan keras.
Menurut Aruna, anak lelaki Kusum Vanskar dan ayah kepada Deepraj, iaitu Deepak Vanskar, pesalah kepada 19 kes salah laku dan dikehendaki polis Kereta Api dengan pengumuman ganjaran 10,000 rupee atas penangkapannya.
Pegawai polis terbabit mendakwa bahawa seluruh keluarga lelaki itu terlibat dalam aktiviti mencuri dan kerana itu ahli keluarganya disoal siasat.
Pemimpin-pemimpin Kongres mengkritik kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav dengan dakwaan insiden itu sebagai contoh penindasan terhadap kasta Dalit.
Presiden Kongres Madhya Pradesh, Jitu Patwari yang berkongsi video insiden itu mendakwa “penindasan terhadap Dalit menjadi senjata terbesar” BJP dan menyatakan “permainan kebencian politik ini mesti dihentikan”.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta, malah ada yang mengatakannya di luar sistem kasta. – The Merdeka Times