Terkini
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda iktiraf kuasa kehakiman mahkamah syariah — Pakar Perlembagaan
Semua negeri perlu mengangkat kedudukan mahkamah syariah dengan meletakkannya di bawah undang-undang tubuh negeri masing-masing untuk menunjukkan bahawa mahkamah syariah diiktiraf dan disahkan undang-undang tubuh negeri terbabit.
- Semua negeri perlu mengangkat kedudukan mahkamah syariah dengan meletakkannya di bawah undang-undang tubuh negeri masing-masing untuk menunjukkan bahawa mahkamah syariah diiktiraf dan disahkan undang-undang tubuh negeri terbabit.
- Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata jika langkah itu tidak diambil, ia berkemungkinan akan membuatkan kedudukan mahkamah syariah ‘dilihat’ terlalu rendah kerana terdapat negeri meletakkan mahkamah syariah atau penubuhannya hanya dalam enakmen negeri, bukan dalam undang-undang tubuh atau undang-undang paling tinggi di negeri tersebut.
- “Namun begitu ia (langkah di atas) tidak akan menjamin kedudukan mahkamah syariah dalam konteks yang lebih mantap atau padu, kerana kuasa kehakiman mahkamah syariah itu perlu diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
- “Maknanya Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dengan menyatakan mahkamah syariah ini mempunyai kuasa kehakiman dalam semua perkara yang mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa.
- “Saya fikir ini adalah perubahan yang lebih jitu, lebih kukuh untuk menjamin masa depan mahkamah syariah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
- Shamrahayu mengulas tentang mengapakah penting atau apakah manfaat daripada langkah diambil DUN Kedah yang pada Ahad lalu, meluluskan pindaan RUU Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 bagi meletakkan mahkamah syariah dalam undang-undang tubuh negeri itu.
KUALA LUMPUR — Semua negeri perlu mengangkat kedudukan mahkamah syariah dengan meletakkannya di bawah undang-undang tubuh negeri masing-masing untuk menunjukkan bahawa mahkamah syariah diiktiraf dan disahkan undang-undang tubuh negeri terbabit.
Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata jika langkah itu tidak diambil, ia berkemungkinan akan membuatkan kedudukan mahkamah syariah ‘dilihat’ terlalu rendah kerana terdapat negeri meletakkan mahkamah syariah atau penubuhannya hanya dalam enakmen negeri, bukan dalam undang-undang tubuh atau undang-undang paling tinggi di negeri tersebut.
Beliau berkata apabila mahkamah syariah itu ditempatkan, dimasukkan dan diisytiharkan undang-undang tubuh negeri, maka ia menjadi sebahagian daripada undang-undang tertinggi bagi negeri berkenaan.
“Namun begitu ia (langkah di atas) tidak akan menjamin kedudukan mahkamah syariah dalam konteks yang lebih mantap atau padu, kerana kuasa kehakiman mahkamah syariah itu perlu diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi perubahan lebih penting pada saya yang perlu dibuat seterusnya di samping pada peringkat negeri (mengiktiraf mahkamah syariah) memang itu dalam bidang kuasa negeri mudah dibuat… tapi lebih penting untuk mahkamah syariah ini ialah pada peringkat Persekutuan perlu dijelaskan tentang kuasa kehakiman mahkamah syariah itu di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Maknanya Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dengan menyatakan mahkamah syariah ini mempunyai kuasa kehakiman dalam semua perkara yang mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa.
“Saya fikir ini adalah perubahan yang lebih jitu, lebih kukuh untuk menjamin masa depan mahkamah syariah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang mengapakah penting atau apakah manfaat daripada langkah diambil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang pada Ahad lalu, meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 bagi meletakkan mahkamah syariah dalam undang-undang tubuh negeri itu.
Perkara itu mendapat perhatian peguam kanan, Haniff Khatri yang turut meminta negeri lain supaya segera meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing untuk mengiktiraf mahkamah syariah di negeri mereka sepertimana dilakukan Kedah dan Terengganu sebelum ini.
Mengulas lanjut mengapa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda berhubung perkara itu, Shamrahayu berkata ini kerana dalam keputusan kes Indira Gandhi pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan kuasa kehakiman dalam sesuatu perkara itu adalah inherent ataupun secara semula jadi berada di Mahkamah Peringkat Persekutuan, bukan mahkamah syariah.
Perkara itu membuatkan seolah-olah mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa dalam perkara tersebut, walaupun hal-hal atau subject matter berkenaan kes sebenarnya di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
“Jadi bila Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan mahkamah syariah contoh bidang kuasa mahkamah syariah dalam perkara 121 (1A) dia menjelaskan bahawa bidang kuasa yang ada pada mahkamah syariah tidak boleh didengar oleh mahkamah pada peringkat persekutuan.
“Secara ringkasnya di sini apabila Mahkamah Persekutuan menyatakan inherent ataupun kuasa kehakiman semula jadi berada di mahkamah pada peringkat persekutuan jadi seolah-olah mahkamah syariah ini tidak mempunyai kuasa walaupun hal-hal itu perkara-perkara subject matter itu sebenarnya di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
“Jadi saya cadangkan supaya di samping mengangkat kedudukan mahkamah syariah di peringkat negeri dengan memasukkannya dalam Undang-undang Tubuh Negeri adalah juga penting untuk memastikan bahawa bidang kuasa di bawah mahkamah syariah itu pada masa sama (Perlembagaan Persekutuan) menganugerahkan, mengisytiharkan kuasa kehakiman kepada mahkamah syariah dalam apa juga perkara di bawah bidang kuasa mahkamah syariah,” kata Shamrahayu. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/