Terkini
Pembunuhan Ismail Haniyeh: “Hipokrasi Barat jijik, memualkan” – Tun Mahathir
Pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang didakwa dilakukan rejim zionis Israel di Tehran membuktikan rejim itu dan penyokongnya hipokrit dan pengganas sebenar, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
- Pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang didakwa dilakukan rejim zionis Israel di Tehran membuktikan rejim itu dan penyokongnya hipokrit dan pengganas sebenar, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
- “Pembunuhan Haniyeh membuktikan perkara itu. Pembunuhan di luar kehakiman Israel terhadap pejuang kemerdekaan Palestin menunjukkan betapa angkuh, kejam dan kejinya rejim itu,” katanya menerusi ucapan takziah yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan dikongsikan di Facebook pada Khamis.
- “Namun, media Barat dan beberapa pemimpin mereka terus mengutuk Hamas dan Haniyeh sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang – Benjamin Netanyahu, Pasukan Pendudukan Israel (IOF) dan peneroka haram Yahudi yang selama beberapa dekad melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
- “Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabelkan Haniyeh, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan (hipokrasi) Barat dan rakannya sememangnya memualkan,” kata Dr Mahathir.
KUALA LUMPUR — Pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang didakwa dilakukan rejim zionis Israel di Tehran membuktikan rejim itu dan penyokongnya hipokrit dan pengganas sebenar, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Haniyeh berdiri sebagai peringatan tentang apa itu negara paria Israel, dan semua orang yang menyokong rejim zionis itu sendiri adalah hipokrit dan pengganas sebenarnya.
“Pembunuhan Haniyeh membuktikan perkara itu. Pembunuhan di luar kehakiman Israel terhadap pejuang kemerdekaan Palestin menunjukkan betapa angkuh, kejam dan kejinya rejim itu,” katanya menerusi ucapan takziah yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan dikongsikan di Facebook pada Khamis.
Menyifatkan rejim zionis Israel sebagai negara penyangak dan pelaku pembunuhan beramai-ramai, Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kemunafikan atau hipokrasi Barat dan seterunya dalam hal itu jelas memualkan.
“Namun, media Barat dan beberapa pemimpin mereka terus mengutuk Hamas dan Haniyeh sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang – Benjamin Netanyahu, Pasukan Pendudukan Israel (IOF) dan peneroka haram Yahudi yang selama beberapa dekad melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
“Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabelkan Haniyeh, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan (hipokrasi) Barat dan rakannya sememangnya memualkan.
“Saya benar-benar sedih dan marah. Saya sedih, kerana Haniyeh, seorang lelaki yang baik dan berani yang menghabiskan seluruh usia dewasanya berjuang untuk pembebasan Palestin, telah dibunuh,” katanya.
Ahli politik berusia 99 tahun itu berkata beliau marah kerana dunia Barat yang boleh melakukan perubahan, sebaliknya memilih berdiam diri dan berpihak kepada rejim zionis Israel dalam tindakan keganasan mereka dan genosid ke atas rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tetap optimis kerana perjuangan Haniyeh tidak akan pergi bersamanya dan beliau yakin rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematian pejuang berjiwa singa itu sia-sia.
Beliau berkata kelompok terbabit mungkin berupaya membunuh Haniyeh namun bukan idea Ketua Biro Politik Hamas itu dan apa yang diperjuangkannya.
“Kepada keluarga Haniyeh, terimalah ucapan takziah saya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.
“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan penuh keyakinan. Semoga Allah mengampuninya, memberikannya Jannah dan menempatkannya di kalangan orang-orang soleh,” kata Dr Mahathir yang mengakhiri ucapan takziah dengan slogan ‘dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’
Terbaharu, jenazah Haniyeh dilaporkan tiba di ibu negara Qatar, Doha dari Iran pada Khamis dan akan dikebumikan hari ini, lapor media Qatar dipetik agensi berita Anadolu.
Pengurusan jenazah diadakan awal Khamis di ibu negara Iran, Tehran dengan sejumlah besar masyarakat dan pegawai mengambil bahagian dalam perkabungan, termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Kumpulan Palestin dan Iran mengumumkan pembunuhan Haniyeh dalam serangan udara Israel pada awal Rabu yang menyasarkan kediamannya di Tehran, sehari selepas beliau menghadiri majlis penabalan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Walaupun Israel berdiam diri mengenai pembunuhan itu, Netanyahu ada mengisyaratkan penglibatan Tel Aviv dalam pembunuhan Haniyeh. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/