Terkini
Kami tidak mahu pelarian Palestin di Sarawak – MoCS
Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) menegaskan pihaknya tidak mahu menerima sebarang kemasukan pelarian Palestin di Sarawak jika Kerajaan Madani bercadang untuk membawa kelompok itu ke negara ini.
- Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) menegaskan pihaknya tidak mahu menerima sebarang kemasukan pelarian Palestin di Sarawak jika Kerajaan Madani bercadang untuk membawa kelompok itu ke negara ini.
- Ketua MoCS, Francis Paul Siah berkata pihaknya mengambil pendirian sedemikian kerana Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan peperangan dan konflik yang melibatkan pengganas, keganasan dan kematian di luar negara.
- Beliau mendakwa pendirian badan bukan kerajaan dari Sarawak itu mewakili sentimen majoriti rakyat negeri terbabit.
- “Ini adalah rayuan ikhlas kami kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang MoCS percaya sebagai suara majoriti rakyat Sarawak.
- “Tuan Perdana Menteri, jika kamu berfikir untuk membawa masuk pelarian Palestin ke dalam negara, jangan paksa Sarawak untuk turut menempatkan mereka. Kami tidak mahu pelarian di Sarawak, termasuk mereka dari Palestin. Jadi, jangan berfikir mengenainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam susulan tindakan kerajaan menerbangkan rakyat Palestin yang cedera di Gaza untuk dirawat di sini.
- Siah berkata Sarawak tidak mempunyai kem pelarian dan beliau tidak fikir kerajaan dan rakyat Sarawak mahu menerima pelarian dari mana-mana tempat.
- Terdahulu, 127 warga Palestin, termasuk 41 mangsa perang di Gaza yang cedera, diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah ke Kuala Lumpur pada Khamis malam.
- Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera kemudiannya dilaporkan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 2 petang pada Jumaat.
KUALA LUMPUR – Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) menegaskan pihaknya tidak mahu menerima sebarang kemasukan pelarian Palestin di Sarawak jika Kerajaan Madani bercadang untuk membawa kelompok itu ke negara ini.
Ketua MoCS, Francis Paul Siah berkata pihaknya mengambil pendirian sedemikian kerana Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan peperangan dan konflik yang melibatkan pengganas, keganasan dan kematian di luar negara.
Beliau mendakwa pendirian badan bukan kerajaan dari Sarawak itu mewakili sentimen majoriti rakyat negeri terbabit.
“Ini adalah rayuan ikhlas kami kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang MoCS percaya sebagai suara majoriti rakyat Sarawak.
“Tuan Perdana Menteri, jika kamu berfikir untuk membawa masuk pelarian Palestin ke dalam negara, jangan paksa Sarawak untuk turut menempatkan mereka. Kami tidak mahu pelarian di Sarawak, termasuk mereka dari Palestin. Jadi, jangan berfikir mengenainya.
“Biar saya ulangi. Jangan berfikir mengenainya, Anwar. Serius, kamu mungkin perdana menteri tetapi jangan layan Sarawak (dan Sabah juga) dengan cara yang sama seperti kamu menguruskan Malaya, terutamanya dalam krisis Timur Tengah ini.
“Jangan ambil mudah wilayah Borneo dan jangan paksa kami! Kami sangat membencinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam susulan tindakan kerajaan menerbangkan rakyat Palestin yang cedera di Gaza untuk dirawat di sini.
Siah berkata pendekatan kepada konflik selama berdekad di Palestin sepatutnya disantuni dengan ucapan selamat maju jaya dan sikap “jangan jadi penyibuk” terhadap apa yang mereka lalui.
“Sebagai orang Sarawak, saya boleh katakan dengan pasti bahawa kami berbeza dalam isu-isu tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan ekstremisme agama.
“Tidak, Sarawak tidak mahu ada kaitan dengan peperangan dan konflik yang melibatkan pengganas, keganasan dan kematian di luar negara.
“Konflik Timur Tengah tidak ada kaitan dengan kami di Sarawak. Jika dua puak yang berada 8,000km jauhnya tidak dapat bersatu, bertekad untuk membunuh satu sama lain tanpa niat untuk berdamai selama berdekad-dekad, kami ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Jangan kita jadi penyibuk dan campur tangan dalam urusan orang lain,” kata Siah.
Siah berkata pendiriannya itu bukan tindakan mengabaikan penderitaan mereka yang menderita, tetapi satu tindakan dan keputusan bersikap “waras dan realistik”.
“Anwar, jika anda ingin dikenali sebagai wira Islamis antarabangsa (sekarang kita tahu ini adalah obsesi anda), silakan. Jangan seret Sarawak dan Sabah ke dalam rancangan besar peribadi anda; kami tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.
“Sarawak tidak mempunyai kem pelarian dan saya tidak fikir kerajaan dan rakyat Sarawak akan pernah mahu menerima pelarian dari mana-mana tempat. Jadi, tolong jangan anggap bahawa kami hanya mengkhususkan pelarian Palestin. Kebetulan saja mereka adalah subjek yang dibincangkan di sini.
“Bukanlah kami, rakyat Sarawak, tidak berbelas kasihan kepada mereka yang menderita tetapi saya rasa kami hanya bersikap waras dan realistik,” katanya.
Terdahulu, 127 warga Palestin, termasuk 41 mangsa perang di Gaza yang cedera, diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah ke Kuala Lumpur pada Khamis malam.
Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera kemudiannya dilaporkan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 2 petang pada Jumaat. – The Merdeka Times