Antarabangsa
(VIDEO) Kami terpaksa pilih antara kanak-kanak mana hidup atau mati di Gaza – Pakar bedah UK
“Apa yang saya saksikan di Gaza adalah genosid (pembunuhan beramai-ramai) jelas. Saya nampak pembunuhan dan penyeksaan wanita, kanak-kanak dan lelaki yang tidak bersalah,” kata pakar bedah dari United Kingdom (UK), Dr Mohammed Tahir.
“Apa yang saya saksikan di Gaza adalah genosid (pembunuhan beramai-ramai) jelas. Saya nampak pembunuhan dan penyeksaan wanita, kanak-kanak dan lelaki yang tidak bersalah,” kata pakar bedah dari United Kingdom (UK), Dr Mohammed Tahir.
Pakar Bedah Ortopedik dan Saraf Periferal itu berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang London UK pada Ahad selepas mengakhiri misi perubatan selama dua bulan di Gaza, Palestin.
“Ada waktu di mana saya betul-betul melihat ke langit dan saya fikir, bila semua ini akan tamat kerana ia kelihatan seperti tsunami (yang dirasakan) berkali-kali,” kata Dr Mohammed dalam video dikongsikan di Instagram Middle East Eye pada Isnin.
Beliau turut berkongsi situasi getir di Gaza di mana doktor perlu membuat keputusan sukar menentukan kanak-kanak mana yang perlu diutamakan dalam rawatan untuk menyelamatkan nyawa.
“Ada masanya kami terpaksa memilih antara kanak-kanak mana yang hidup dan kanak-kanak mana yang mati.
“Ia masih belum tamat, malah, serangan ke atas Deir al-Balah yang merupakan sebuah bandar di zon tengah Gaza, baru sahaja bermula dan berjuta orang ada di sana.
“Jika kita tidak bertindak sepenuhnya, mendesak semua mereka yang bertanggungjawab, maka akan ada malapetaka yang lebih besar lagi akan berlaku,” kata Dr Mohammed.
Pakar bedah itu turut mengingatkan orang ramai betapa pentingnya perjuangan mendesak golongan memegang tampuk kepimpinan dan kekuasaan di luar Gaza supaya agenda kezaliman zionis Israel yang melanda warga Palestin dapat dihentikan.
“Kami letak kepercayaan kami kepada Allah. Seterusnya kami meletakkan kepercayaan di antara satu sama lain dan insya-Allah tidak lama lagi, kita akan melihat Palestin yang bebas di mana warganya akan dilayan penuh hormat (bermaruah).
“Tetapi usahanya kini di sini, ia terhadap mereka yang mempunyai kuasa dan itulah di mana kita harus bertindak selepas ini,” kata Dr Mohammed. – The Merdeka Times