Terkini
(VIDEO) BlackRock: Dewan Negara perlu tolak RUU pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendesak Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang (RUU) pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan meneliti semula pemusatan kuasa Menteri Pengangkutan di bawah pindaan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) 2024.
- Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendesak Dewan Negara menolak RUU pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan meneliti semula pemusatan kuasa Menteri Pengangkutan di bawah pindaan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) 2024.
- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata MAVCOM merupakan badan bertanggungjawab menyemak imbang semua butiran kecil melibatkan penswastaan syarikat MAHB kepada GIP-BlackRock.
- “Macam saya ulang banyak kali dalam hujah saya di Parlimen baru-baru ini pembubaran MAVCOM ini akan membuatkan penelitian, semak imbang, urus niaga penswastaan MAHB ini tempang,” katanya menerusi satu klip video di Facebook berkenaan sidang media “Tolak BlackRock dan Selamatkan Malaysia” di sini pagi tadi.
- Beliau berharap Ahli Dewan Negara dan semua pihak membantah satu klausa dalam pindaan CAAM iaitu berkenaan fasal 18 yang sebelum ini menyatakan Menteri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa yang bersifat umum selaras peruntukan undang-undang penerbangan awam berkaitan pelaksanaan fungsi di mana pihak berkuasa perlu melaksanakan arahan tersebut.
- “Kesan pindaan ini bila digugurkan perkataan bersifat umum itu… very subtle Anthony Loke (Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP) punya kerja ini, menteri DAP ini mempunyai kuasa veto untuk membuat sebarang keputusan termasuk veto kepada keputusan lembaga pengarah,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
KUALA LUMPUR — Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendesak Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang (RUU) pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan meneliti semula pemusatan kuasa Menteri Pengangkutan di bawah pindaan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) 2024.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata MAVCOM merupakan badan bertanggungjawab menyemak imbang semua butiran kecil melibatkan penswastaan syarikat Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock.
“Macam saya ulang banyak kali dalam hujah saya di Parlimen baru-baru ini pembubaran MAVCOM ini akan membuatkan penelitian, semak imbang, urus niaga penswastaan MAHB ini tempang.
“Kerana MAVCOM badan yang bertanggungjawab menyemak imbang semua butiran-butiran yang kecil-kecil melibatkan penswastaan MAHB kepada GIP-BlackRock ini,” katanya menerusi satu klip video di Facebook berkenaan sidang media “Tolak BlackRock dan Selamatkan Malaysia” di sini pagi tadi.
Wan Fayhsal berkata sidang media itu dibuat berikutan Persidangan Parlimen Dewan Negara hari ini akan membahaskan mengenai Pindaan RUU Pembubaran MAVCOM.
Beliau berharap Ahli Dewan Negara dan semua pihak membantah satu klausa dalam pindaan CAAM iaitu berkenaan fasal 18 yang sebelum ini menyatakan Menteri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa yang bersifat umum selaras peruntukan undang-undang penerbangan awam berkaitan pelaksanaan fungsi di mana pihak berkuasa perlu melaksanakan arahan tersebut.
Katanya, perkara itu bermaksud sebelum ini Menteri mempunyai kuasa bersifat umum untuk menyuruh CAAM atau pihak berkuasa berkenaan menjalankan arahan-arahan dikeluarkan beliau.
“Namun, pindaan dibuat hari ini di Dewan Negara ialah dia sama sahaja teks dia, kecuali dalam frasa arahan kepada pihak berkuasa itu bersifat umum digugurkan.
“Kesan pindaan ini bila digugurkan perkataan bersifat umum itu… very subtle Anthony Loke (Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP) punya kerja ini, menteri DAP ini mempunyai kuasa veto untuk membuat sebarang keputusan, termasuk veto kepada keputusan lembaga pengarah.
“Ini yang kita bantah hari ini dan minta Dewan Negara bantah kerana ia beri kuasa terlampau besar kepada menteri DAP ini sebab itu perbahasan Dewan Rakyat hari itu kita minta RUU ini dirujuk dulu kepada parliamentary select committee untuk kita perhalusi betul-betul,” katanya.
Beliau berkata antara implikasi pengguguran bersifat umum itu adalah ia akan membolehkan Menteri Pengangkutan berupaya meluluskan, membatalkan dan menolak hal-hal seperti lesen untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang dan sebagainya.
Implikasi lain adalah berkenaan hak trafik udara, kes-kes persaingan, kes melibatkan perlindungan pengguna dan cukai lapangan terbang.
Pada 26 Jun lalu, media melaporkan Dewan Rakyat meluluskan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi membubarkan MAVCOM.
RUU itu bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan membubarkan MAVCOM, seterusnya memindahkan segala fungsinya kepada CAAM.
Ketika perbahasan berlangsung, beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan membantah cadangan pembubaran MAVCOM dengan mendakwa langkah itu akan memberi lebih kuasa kepada Menteri Pengangkutan.
Mereka juga mendakwa langkah pembubaran ada kaitan dengan isu pemilikan saham syarikat asing ke atas MAHB iaitu BlackRock Inc, namun ia dinafikan Anthony Loke. —- The Merdeka Times