Connect with us

Terkini

Peguam mahu pembuli siber sebabkan kematian dipenjara 10 tahun

Seorang peguam mencadangkan pembuli siber yang menyebabkan kematian mangsa dikenakan hukuman penjara di antara setahun hingga 10 tahun. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor.
  • Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata ketetapan hukuman itu boleh dilakukan melalui penggubalan akta khas berkaitan pembuli siber terutama yang melibatkan kematian mangsa buli, berikutan Malaysia ketika ini tiada undang-undang khusus untuk kes berkenaan.
  • Beliau berkata insiden kes buli siber hari ini sudah keterlaluan di mana media melaporkan hampir dua tahun sekali akan ada kematian dan kes bunuh diri akibat daripada buli siber.
  • “Dalam keadaan ini saya memang merasakan perlu ada satu akta khas berkaitan dengan penggunaan siber ini dan sekiranya sehingga menyebabkan kematian satu siling denda yang lebih tinggi perlu diadakan.
  • “Denda, penjara atau kedua-duanya sekali… Kalau melibatkan kematian saya rasakan lebih tepat jika pemenjaraan antara satu hingga 10 tahun,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
  • Zabetha menjawab pertanyaan berkenaan bentuk hukuman setimpal yang wajar dikenakan kepada pembuli siber terutama yang menyebabkan kematian, malah dilihat tidak insaf.

KUALA LUMPUR — Seorang peguam mencadangkan pembuli siber yang menyebabkan kematian mangsa dikenakan hukuman penjara di antara setahun hingga 10 tahun. 

Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata ketetapan hukuman itu boleh dilakukan melalui penggubalan akta khas berkaitan pembuli siber terutama yang melibatkan kematian mangsa buli, berikutan Malaysia ketika ini tiada undang-undang khusus untuk kes berkenaan.

Beliau berkata insiden kes buli siber hari ini sudah keterlaluan di mana media melaporkan hampir dua tahun sekali akan ada kematian dan kes bunuh diri akibat daripada buli siber.

“Dalam keadaan ini saya memang merasakan perlu ada satu akta khas berkaitan dengan penggunaan siber ini dan sekiranya sehingga menyebabkan kematian satu siling denda yang lebih tinggi perlu diadakan.

“Denda, penjara atau kedua-duanya sekali… Kalau melibatkan kematian saya rasakan lebih tepat jika pemenjaraan antara satu hingga 10 tahun.

“…Ia supaya kita menganggap bahawa perbuatan buli siber ini adalah sesuatu yang serius,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Zabetha berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berkenaan bentuk hukuman setimpal yang wajar dikenakan kepada pembuli siber terutama yang menyebabkan kematian, malah dilihat tidak insaf.

Ini susulan daripada laporan media berkenaan pempengaruh A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha ditemukan meninggal dunia di unit kondominium di Setapak pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber dihadapinya.

Insiden itu menyaksikan pemilik rumah kebajikan P. Shalini yang dikaitkan dengan kematian Esha, hanya dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan bagi mengganggu keamanan.

Shalini didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Mengulas lanjut, Zabetha berkata ahli keluarga mangsa buli siber boleh menuntut ganti rugi secara sivil ke atas pelaku buli siber yang menyebabkan kematian seperti kes Esha di mana jumlahnya akan lebih tinggi berbanding RM100.

“Saya sendiri secara peribadinya, tak rasa jumlah tersebut memadai sebagai satu pengajaran kepada pelaku. Malahan, bila kita semua tengok video dari pelaku itu, kita tengok bagaimana dia berjalan dan cara dia senyum. 

“Saya sebenarnya mengharapkan bahawa dia insaf sebab berlaku kematian dan perlu ada rasa simpati kepada mangsa dan ahli keluarga mangsa yang masih hidup. 

“Jadi, dalam keadaan ini sekiranya, denda dari sudut jenayah ataupun kesalahan saman di mana saya merasakan, jumlah RM100 itu memang tidak berbaloi. 

“Ahli keluarga boleh menuntut ganti rugi secara sivil (kerana hilang tanggungan) akibat daripada kematian Esha ataupun Rajeswary,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan dilaporkan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani insiden buli siber.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata undang-undang itu antara lain perlu menitikberatkan kepada perubahan medium komunikasi pada masa hadapan dan bersesuaian keperluan semasa.

Fahmi berkata antara undang-undang sedia ada terkait buli siber ialah Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang; serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *