Antarabangsa
(VIDEO) Louisiana negeri AS pertama wajibkan paparan Sepuluh Perintah Tuhan di kelas awam
Louisiana merupakan negeri pertama Amerika Syarikat (AS) mewajibkan Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) dipaparkan di setiap bilik kelas sekolah awam.

Louisiana merupakan negeri pertama Amerika Syarikat (AS) mewajibkan Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) dipaparkan di setiap bilik kelas sekolah awam.
Undang-undang ditandatangani Gabenor Republikan Jeff Landry pada Rabu itu mewajibkan paparan bersaiz poster tertulis butiran Sepuluh Perintah Tuhan menggunakan “tulisan besar dan mudah dibaca” di semua kelas awam, dari tadika sehingga ke universiti yang dibiayai kerajaan negeri.
Pembangkang mempersoalkan keabsahan undang-undang sedemikian dan berikrar untuk mencabarnya di mahkamah.
Penyokong pula berkata langkah itu bukan semata-mata bersifat keagamaan, tetapi juga mempunyai kepentingan sejarah.
Dalam bahasa undang-undang, Sepuluh Perintah Tuhan adalah “dokumen asas bagi kerajaan negeri dan negara kita.”
Poster-poster tersebut akan disertakan bersama empat perenggan “penjelasan konteks” menerangkan bagaimana Sepuluh Perintah Tuhan menjadi “bahagian penting dalam pendidikan awam Amerika selama hampir tiga abad,” yang mesti lengkap dipasang di bilik darjah menjelang awal 2025.
Di bawah undang-undang ini, dana negeri tidak akan digunakan bagi melaksanakan mandat tersebut tetapi poster-poster terbabit akan dibiayai melalui sumbangan. – The Merdeka Times
