Terkini
Keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa hari ini
Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis 17 Mei lalu, akan didakwa pada pagi ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

- Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis 17 Mei lalu, akan didakwa pada pagi ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
- Kelima-lima mereka itu dilaporkan dikawal ketat hampir 30 anggota polis ketika tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, jam 9 pagi ini.
- Mereka difahamkan akan menghadapi beberapa pertuduhan, termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
- Dalam insiden serangan pada pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek mati ditembak.
KUALA LUMPUR — Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis 17 Mei lalu, akan didakwa pada pagi ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Kelima-lima mereka itu dilaporkan dikawal ketat hampir 30 anggota polis ketika tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, jam 9 pagi ini.
Mereka difahamkan akan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
Polis Kontinjen Johor malam tadi dilaporkan mengeluarkan hebahan kepada media untuk membuat liputan kes berkenaan yang akan disebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Kesemua lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun itu dilaporkan pada 24 Mei lalu, ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), selepas tempoh reman mereka berakhir pada hari sama.
Semua mereka terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak dan adik kepada penyerang berusia 21 tahun akan ditahan di bawah SOSMA selama 28 hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan awal mendedahkan keluarga itu membawa fahaman radikal.
Sosma membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Pada 17 Mei lalu, tujuh individu, termasuk lima ahli keluarga suspek itu ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu pada hari sama, selepas serangan itu.
Bagaimanapun, dua penuntut IPT itu dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan selesai, bulan lalu.
Dalam insiden serangan pada pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek mati ditembak.
Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, yang terkena tembakan pada bahu dan pinggul. — The Merdeka Times
