Connect with us

Terkini

Garis Panduan DLP terpakai untuk semua sekolah kerajaan – Fadhlina

Garis Panduan Program Dwibahasa (DLP) terpakai untuk semua sekolah kerajaan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata semua sekolah kerajaan perlu mempunyai satu kelas mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu, seiring Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.
  • “(Dakwaan ada sekolah tidak perlu patuhi Garis Panduan DLP) tidak betul. Semua (sekolah) kita sudah minta untuk pakai dan rujuk garis panduan. Tidak ada masalah setakat ini.
  • “Bagi sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan, kita akan turun dan bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI di sini semalam.

NIBONG TEBAL — Garis Panduan Program Dwibahasa (DLP) terpakai untuk semua sekolah kerajaan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata semua sekolah kerajaan perlu mempunyai satu kelas mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, seiring dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat sekolah yang tidak perlu mematuhi Garis Panduan DLP.

“(Dakwaan itu) tidak betul. Semua (sekolah) kita sudah minta untuk pakai dan rujuk garis panduan. Tidak ada masalah setakat ini.

“Bagi sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan, kita akan turun dan bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI di sini semalam.

Mengenai Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI, Fadhlina berkata ia satu daripada usaha bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Beliau berkata program itu yang dibangunkan bersama institut latihan perguruan, menyaksikan pakar dari institut itu dihantar ke sekolah terpilih untuk menambah baik kaedah pengajaran dalam bahasa berkenaan.

Program berkenaan, katanya dilaksanakan melalui Sekolah Pengajar Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia dan antara aktiviti ialah bacaan kritis, cakna bahasa, program pembudayaan membaca dan aktiviti kebahasaan.

Fadhlina turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pengambilan sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura yang akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

“Khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura dan inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik,” katanya.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

‘Demo Rakyat Lawan Anwar’: 10 individu beri keterangan di IPD Putrajaya

Seramai 10 daripada 12 individu, termasuk penganjur Himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang berkumpul di tempat letak kenderaan Kompleks Seri Perdana, Sabtu lalu sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya petang ini.

Wartawan TMT

Published

on

Ketua Penggerak Demi Negara dan penganjur perhimpunan, Aidil Yunus atau dikenali ‘YB Viral’ (baju hitam tengah).
  • 10 daripada 12 individu, termasuk penganjur Himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang berkumpul di tempat letak kenderaan Kompleks Seri Perdana, Sabtu lalu sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya petang ini.
  • Mereka dilaporkan memasuki IPD Putrajaya kira-kira jam 2.00 petang dan keluar dua jam kemudian.
  • “Setakat ini, polis tidak memaklumkan akan memanggil kami semula bagi menyambung keterangan dan sekiranya ada, kita akan memberi kerjasama penuh,” kata Ketua Penggerak Demi Negara dan penganjur perhimpunan, Aidil Yunus atau dikenali ‘YB Viral’.

KUALA LUMPUR — Seramai 10 daripada 12 individu, termasuk penganjur Himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang berkumpul di tempat letak kenderaan Kompleks Seri Perdana, Sabtu lalu sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya petang ini.

Mereka dilaporkan memasuki IPD Putrajaya kira-kira jam 2.00 petang dan keluar dua jam kemudian.

Ketua Penggerak Demi Negara dan penganjur perhimpunan, Aidil Yunus atau dikenali ‘YB Viral’, berkata dua individu lain yang dipanggil terdiri dari aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan. 

Beliau berkata mereka diambil keterangan secara berasingan dan memberi kerjasama kepada polis.

“Setakat ini, polis tidak memaklumkan akan memanggil kami semula bagi menyambung keterangan dan sekiranya ada, kita akan memberi kerjasama penuh,” katanya. 

Sembilan individu yang hadir ialah Tengku Intan Tengku Abdul Hamid; Siti Nuraliana Zulaikha Olivia; Mohd Zubir Embong; Nurpais Ismail; Lim Chue Har (Michelle Foo); Mohd Faizal Hassan; Shee Chee Weng (Alex) dan Dr Fathul Farisan Ab Rahman serta peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 telah dibuka susulan himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending