Terkini
Adik kepada Zayn Rayyan dalam jagaan JKM Selangor
Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
- Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
- Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim mengesahkan perkara itu.
- Menurutnya, terdapat keperluan untuk JKM mengambil kanak-kanak terbabit.
- “Bagaimanapun kita bawa dia ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana tindakan akan diambil,” katanya.
PETALING JAYA – Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
Menurut laporan Harian Metro, difahamkan JKM Selangor datang ke rumah keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk JKM mengambil kanak-kanak terbabit.
“Bagaimanapun kita bawa dia ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana tindakan akan diambil,” katanya.
Terdahulu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.
Dalam pada itu, semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semua peruntukan yang diberikan undang-undang kepada pihaknya bagi merungkai kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Menurut beliau, misteri kematian kanak-kanak malang itu hanya akan terungkai ketika perbicaraan di mahkamah nanti.
“Sepanjang siasatan yang telah dilakukan, pihak polis telah bekerjasama dengan pihak pendakwa raya.
“Kami berharap semua rakyat Malaysia akan berhenti membuat spekulasi kerana perbicaraan akan bermula bulan depan.
“Semuanya akan didedahkan semasa perbicaraan. Marilah kita berdoa agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya pada Khamis. – The Merdeka Times