Terkini
Malaysia berisiko hilang keistimewaan diberi Arab Saudi jika terus langgar peraturan
Malaysia berisiko hilang keistimewaan diberi kerajaan Arab Saudi sekiranya berterusan melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan negara itu, termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
- Malaysia berisiko hilang keistimewaan diberi kerajaan Arab Saudi sekiranya berterusan melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan negara itu, termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
- Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengharapkan rakyat Malaysia tidak menyalahgunakan visa berkenaan untuk mengerjakan haji kerana ia akan mencalarkan imej Malaysia sebagai negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
- “Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
- Syed Salleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 300 jemaah terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
- “Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagai semuanya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun mujamalah kepada individu tertentu sahaja untuk menunaikan haji,” katanya.
- Beliau menasihatkan mereka yang datang menggunakan visa pelancong perlu meninggalkan Arab Saudi sebelum 29 Zulkaedah 1445 iaitu Jumaat ini (17 Mei).
KUALA LUMPUR — Malaysia berisiko hilang keistimewaan diberi kerajaan Arab Saudi sekiranya berterusan melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan negara itu, termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengharapkan rakyat Malaysia tidak menyalahgunakan visa berkenaan untuk mengerjakan haji kerana ia akan mencalarkan imej Malaysia sebagai negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
“Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Syed Salleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 300 jemaah terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata mereka datang dari luar Arab perlu mempunyai visa haji, manakala penduduk tempatan dan pemastautin perlu mempunyai permit haji untuk melaksanakan haji selain visa haji tidak sah untuk mengerjakan haji.
“Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagai semuanya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun mujamalah kepada individu tertentu sahaja untuk menunaikan haji,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi dikatakan sudah mula membuat sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu bagi memastikan hanya mereka mempunyai visa haji sah untuk masuk kawasan beribadat haji, terutama di Makkah.
“Sebelum ini pun kerajaan Arab Saudi sudah mengumumkan penguatkuasaan penalti 10,000 riyal bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa visa haji sah,” kata Syed Salleh.
Bagi ejen yang memberi janji manis pula akan dikenakan denda SAR50,000 dan penjara jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan mereka yang datang menggunakan visa pelancong perlu meninggalkan Arab Saudi sebelum 29 Zulkaedah 1445 iaitu Jumaat ini (17 Mei).
Terdahulu, media melaporkan jemaah terkandas di Makkah akibat terpedaya pakej haji visa pelancong perlu membuat aduan atau laporan rasmi kepada TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. — The Merdeka Times