Terkini
Sekolah potong bayaran BAP, Menteri gesa pulang segera kepada ibu bapa
Susulan dakwaan seorang individu bahawa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang sepatutnya berjumlah RM150, Menteri Pendidikan hari ini menggesa sekolah terlibat mengembalikan semula bantuan itu kepada ibu bapa dalam jumlah penuh.
- Menteri Pendidikan hari ini menggesa sekolah terlibat mengembalikan semula bantuan itu kepada ibu bapa dalam jumlah penuh.
- “Kalau ada pemotongan, kena lapor kepada KPM untuk terus kita siasat kerana jumlah yang diberikan perlu diterima sepenuhnya. Kalau ada potongan, kita minta kemukakan aduan.Kita akan siasat dan jumlah itu mesti dikembalikan,”- Menteri
- Seorang individu mendakwa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang sepatutnya berjumlah RM150.
KAJANG – Susulan dakwaan seorang individu bahawa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang sepatutnya berjumlah RM150, Menteri Pendidikan hari ini menggesa sekolah terlibat mengembalikan semula bantuan itu kepada ibu bapa dalam jumlah penuh.
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata ibu bapa bagaimanapun perlu membuat aduan jika mendapati berlaku pemotongan BAP supaya siasatan dapat dijalankan.
“Kalau ada pemotongan, kena lapor kepada KPM untuk terus kita siasat kerana jumlah yang diberikan perlu diterima sepenuhnya. Kalau ada potongan, kita minta kemukakan aduan.
“Kita akan siasat dan jumlah itu mesti dikembalikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di sini, hari ini.
Individu itu mendakwa, guru di sekolah itu memotong RM100 sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta koperasi.
Minggu lalu, KPM memaklumkan penyaluran BAP sebanyak RM150 bagi setiap murid perlu dilakukan tanpa sebarang bentuk pemotongan dan kementerian prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan bantuan itu kepada murid.
Menurut kementerian itu, pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP kepada murid.
Kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.- The Merdeka Times