Terkini
“Isu kampung baharu Cina sudah tutup”– Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
- “Janganlah…saya tahu, saya komen satu perkataan saja lari tajuk (tafsiran lari). Itu ‘story’ (isu) pun sudah tutup…kita ‘move on’, tak jadi isu pun… Tiada isu,” katanya.
- Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, secara automatik penduduk yang menghuni kawasan itu akan dianggap orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan. – Asyraf Wajdi
- Pada Jun tahun lalu, Kor Ming pernah dilapor mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
Sewaktu diminta media untuk mengulas isu tersebut, Kor Ming kelihatan cuba mengelak daripada memberi sebarang jawapan kerana bimbang disalah tafsir mana-mana pihak.
“Janganlah…saya tahu, saya komen satu perkataan saja lari tajuk (tafsiran lari). Itu ‘story’ (isu) pun sudah tutup…kita ‘move on’, tak jadi isu pun… Tiada isu,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun di sini malam tadi.
Menteri itu sebelum ini mencadangkan pencalonan kampung baharu Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Cadangan itu bagaimanapun menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak diketahui pihaknya berikutan beliau tidak pernah dihubungi oleh Kor Ming untuk berbincang mengenai isu pencalonan tersebut.
Malah beliau juga tidak tahu siapakah pemimpin UMNO yang didakwa sudah dihubungi Kor Ming berhubung perkara itu.
Ahmad Zahid menyatakan parti yang dipimpinnya tetap dengan pendirian menolak keras cadangan Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP itu sebagaimana kenyataan rasmi dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu.
Asyraf Wajdi sebelum ini dilapor berkata, cadangan Kor Ming itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Katanya, ia memandangkan apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, secara automatik penduduk yang menghuni kawasan itu akan dianggap orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan.
Pada Jun tahun lalu, Kor Ming pernah dilapor mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. – The Merdeka Times