Terkini
Malaysia alu-alukan permohonan Afrika Selatan mula prosiding terhadap rejim Israel di ICJ
Malaysia mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan memulakan prosiding terhadap rejim Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) berhubung keganasannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

- Malaysia mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan memulakan prosiding terhadap rejim Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) berhubung keganasannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
- Wisma Putra dalam kenyataan berkata tindakan itu adalah tepat pada masanya bagi memastikan akauntabiliti undang-undang ke atas kekejaman rejim Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang Didudukinya (Occupied Palestinian Territory, OPT) dapat dilaksanakan.
- “Permohonan Afrika Selatan juga merangkumi hasrat supaya ICJ menetapkan langkah-langkah sementara (provisional measures) supaya Israel segera menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan melindungi hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid, serta memastikan pematuhan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen ini,” kata Wisma Putra pada Rabu.
KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan memulakan prosiding terhadap rejim Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) berhubung keganasannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata tindakan itu adalah tepat pada masanya bagi memastikan akauntabiliti undang-undang ke atas kekejaman rejim Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang Didudukinya (Occupied Palestinian Territory, OPT) dapat dilaksanakan.
“Permohonan Afrika Selatan juga merangkumi hasrat supaya ICJ menetapkan langkah-langkah sementara (provisional measures) supaya Israel segera menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan melindungi hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid, serta memastikan pematuhan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen ini,” kata Wisma Putra pada Rabu.
Katanya, sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia menyeru Israel memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia mengulangi pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata Wisma Putra.
Media melaporkan, sekurang-kurangnya 21,978 warga Palestin terbunuh dan 57,697 cedera dalam serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu, manakala 1,139 maut di Israel. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Wisma Putra
