Terkini
Tiada cap jari, iris pengguna dirakam dalam Identiti Digital Nasional – Fahmi Fadzil
Pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) di Malaysia tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna.

- Sistem IDN yang dibangunkan negara ini jauh berbeza dengan negara-negara lain seperti Kanada dan India.- Menteri
- IDN di Malaysia tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna.
- Ia sekaligus menjamin keselamatan data pengguna bagi sistem yang dibangunkan di bawah Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) tersebut.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) di Malaysia tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna.
Ia sekaligus menjamin keselamatan data pengguna bagi sistem yang dibangunkan di bawah Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) tersebut.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sistem IDN yang dibangunkan negara ini jauh berbeza dengan negara-negara lain seperti Kanada dan India.
“… dan yang penting di sini dalam konteks Malaysia sistem adalah untuk memudahkan supaya rakyat Malaysia, hanya memerlukan satu kata laluan untuk masuk di semua aplikasi kerajaan.
“Ini bukan hanya memudahkan kita sebagai rakyat Malaysia sebagai pengguna tetapi menjimatkan pihak kerajaan.
“Kita tahu kalau nak bina satu modul untuk pendaftaran yang dikenali juga sebagai EKYC, kosnya tinggi. Jadi bagi pihak kerajaan ini juga satu langkah penjimatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Jelas beliau , pelaksanaan IDN masih di peringkat permulaan, dengan jangkaan pada Mac tahun depan proses pendaftaran akan lebih rancak.
Sebelum ini, KKD memberi jaminan pembangunan IDN tidak akan menjejaskan keselamatan data peribadi rakyat, malah menyatakan inisiatif diusahakan oleh MIMOS itu digunakan di beberapa negara seperti Estonia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 21 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan melantik pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional, MIMOS sebagai agensi pelaksana program IDN dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.
IDN atau digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Sumber: Astro Awani
